Syed Saddiq
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Armada sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepakat agar satu jawatankuasa khas ditubuh bagi menyaring kemasukan bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu.

Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahmad berkata, jawatankuasa itu dicadangkan dipengerusi oleh presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Jelas beliau, ahli jawatankuasa itu juga wajib mempunyai wakil daripada Armada dalam senarainya.

“Jawatankuasa khas ini akan membuat saringan ketat ke atas pemimpin UMNO yang akan menyertai Bersatu.

“Ia merupakan forum terbaik termasuk pengisytiharan harta dan membuat permohonan maaf selain kemasukan ke Bersatu bukan untuk mendapat jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai sesi penggulungan perwakilan Armada pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Syed Saddiq menambah, isu lain yang mencapai konsesus bersama dalam kalangan perwakilan Armada adalah identiti baharu Bersatu pada masa akan datang.

Tegas beliau, Bersatu perlu memberi fokus untuk membantu orang Melayu yang kurang berkemampuan terutama dalam kalangan B40.

“Pada masa masa, apabila orang melihat Bersatu, mereka lihat pemimpin Melayu yang amanah dan berintegriti serta sanggup mengambil risiko.

“Bersatu juga perlu dilihat sebagai parti yang tetap boleh bekerjasama dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama kerana akhirnya Bersatu yang mewakili orang Melayu untuk mara ke hadapan,” katanya.

Syed Saddiq turut memberitahu usul lain yang mencapai kata sepakat apabila pemimpinnya yang berkelayakan dan berkebolehan secara merit wajar diberi tempat dalam menggerak Malaysia Baharu.

Katanya, perkara itu diusulkan agar agenda Malaysia Baharu akan dipacu oleh anak muda yang berwawasan. – MalaysiaGazette