Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

LIPIS – Presiden Amanah Mohamad Sabu menganggap isu penangkapan anaknya tidak akan menjadi liabiliti untuk Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan nanti.

Menurut beliau, tidak ada masalah buat jentera PH dalam usaha memenangi hati dan peratusan undi pengundi, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang disandang oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Tidak ada masalah, itu kita serah kepada undang-undang. Saya tidak akan melindungi (dia) daripada undang-undang. Saya serah kepada pihak polis.

“Macam anak orang lain juga, tiada yang istimewa. Kami menteri sekarang bukan nak lindungi anak-anak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersama kira-kira hampir 100 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Felda Sungai Koyan 3 di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditanyakan mengenai isu penangkapan anaknya berusia 31 tahun itu akan menjejas peluang pihaknya dalam kempen PRK Cameron Highlands.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keyakinan pengundi di Felda Sungai Koyan akan menyokong PH, beliau yakin kawasan itu akan menyaksikan peratusan tinggi undi berikutan peti undi di kawasan itu mencatat kemenangan tipis iaitu 44 undi.

“Kita akan tumpu dari rumah ke rumah kerana kita yakin isu yang akan mereka (pembangkang) mainkan adalah isu perkauman yang kita tahu banyak yang tak betul,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.