SEREMBAN – Kerajaan sedia mengkaji cadangan untuk wujudkan undang-undang bagi melindungi ibu bapa yang diabaikan anak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia memerlukan kajian secara mendalam dan terperinci sebelum boleh dilaksanakan.

“Memang tidak wajar mana-mana pihak mengabaikan serta mendera ibu bapa dan bagi pendapat saya kalau ada keperluan, kita boleh laksanakan undang-undang sebegini untuk membela nasib warga emas serta memastikan anak tidak sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media hari ini yang memetik Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim mencadangkan undang-undang lebih tegas perlu diwujudkan bagi membolehkan hukuman setimpal dikenakan ke atas anak yang sengaja mengabai atau mendera ibu bapa secara emosi, termasuk meninggalkan mereka bersendirian atau di rumah orang tua.

Rahimah berkata, hukuman tegas perlu bagi membela nasib warga emas dan memastikan anak tidak sewenang-wenangnya melepaskan tanggung jawab.

Terdahulu, Waytha meluangkan masa selama satu jam mengadakan lawatan dan beramah mesra bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Tong Sim, di sini.

Lawatan berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Bahrain Idris, Pengarah Jabatan Perpaduan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Salahsiah Hashim serta pengerusi pusat jagaan itu, Chong On Wee.

Waytha dalam lawatan berkenaan menyeru masyarakat menghulurkan sumbangan dan perhatian kepada warga emas yang diabaikan.

Pada lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada pusat jagaan berkenaan.

Pusat Jagaan Warga Emas Tong Sim ditubuhkan pada 2006, terletak di Taman Rasah di sini dan memberi perlindungan kepada 10 warga emas setakat ini. – Bernama