Tan Sri Khalid Yunos
Timbalan Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tan Sri Khalid Yunos bercakap pada sidang media mengenai penubuhan Putra di Wisma KGMB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) tidak berniat untuk mengancam mana-mana pihak termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang satu-satunya parti orang Melayu Bumiputera dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden penajanya, Tan Sri Khalid Yunos sambil menggelarkan diri sebagai ‘orang tua’ menyatakan beliau dan presiden penajanya, Datuk Dr Ibrahim Ali hanya ‘orang kecil’ jika dibandingkan pemimpin PH.

“Saya pun pelik sebagai orang tua (veteran) dalam permainan ini, apa masalahnya, saya dengan Ibrahim Ali ni apa benda, kita orang kecil jer, kita bukan nak mengancam siapa-siapa.

“Kita cuma nak sumbang dalam proses demokrasi negara, itu saja, takkan tak boleh, takkan tak tahu siapa Ibrahim Ali dan Khalid ni, orang tiada benda laa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan pendaftaran Putra masih tidak diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan parti baharu itu bakal memberi ancaman kepada PPBM dalam menarik sokongan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Sebelum ini Ibrahim bersama beberapa penaja Putra telah menghantar permohonan untuk pendaftaran parti baharu pada 13 Ogos 2018, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan.

Sebaliknya Perlembagaan Putra sahaja mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 27 November 2018.

Khalid juga Putra tidak akan menyebelah mana-mana parti politik sama ada PH mahupun Barisan Nasional (BN) selagi mana perdaftarannya masih tidak diluluskan.

“Kita daftar dulu, lepas itu kita nak pergi ke mana, kita bincang la. Kita tak boleh kata kita nak tubuh parti ini kita nak bersama PH atau BN, mana boleh, itu bukan caranya,” tegasnya.

Bekas timbalan menteri itu berkata lagi, PPBM seharusnya berjiwa besar dan perlu bersedia menerima persaingan politik dengan Putra dalam meraih sokongan rakyat.

“Politik ini 61 tahun, persaingan kena ada, ia namanya permainan politik, kita kena bersaing untuk lawan.

“Kalau tak bersedia untuk itu jangan sentuh laa (politik),” katanya.

Katanya lagi, kelantangan presiden penajanya juga sepatutnya tidak dijadikan sebagai alasan agar permohonan parti itu masih gagal didaftar secara sah sehingga hari ini.

“Ramai lagi lantang, Anwar Ibrahim lagi lantang. Soal kelantangan itu tak boleh menafikan hak kita sebagai rakyat Malaysia, sekarang ini kebebasan bersuara.

“Apa Kit Siang tak lantang? Guan Eng tak lantang? Bagi tahu saya siapa tak lantang (politik).

“Kalau tak lantang, penakut jangan sentuh permainan (politik) ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast