Syed Hassan Syed Ali
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali bercakap kepada media mengenai sokongan PERKASA terhadap PRK DUN Semenyih di Wisma KGMB, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat pendirian secara terbuka untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, dengan keputusan itu, Perkasa secara rasmi menolak calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa telah mengadakan mesyuarat tergempar petang semalam bagi membincangkan pendirian pertubuhan NGO terbesar Melayu itu untuk PRK DUN Semenyih 2 Mac ini.

“Dalam mesyuarat itu, semua ADT yang hadir telah membuat keputusan berkenaan sebulat suara,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di sini, hari ini.

Mengenai calon bebas dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Syed Hassan berkata, kedua-dua calon itu terkeluar daripada perbincangan ADT Perkasa, selain PSM yang mempunyai dasar perjuangan berbeza dengan pertubuhan itu.

Ditanya sebab Perkasa menolak calon PH, beliau menjelaskan, tindakan parti itu sejak menjadi kerajaan pada 10 Mei lalu telah banyak mengecewakan orang Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Ini termasuk tindakan kerajaan PH melantik bukan Melayu untuk jawatan penting baik dalam kerajaan mahupun anak syarikat bukan kerajaan (GLC) yang selama ini disandang oleh orang Islam dan Bumiputera.

“Kerajaan PH berdiam diri dengan peruntukan baharu diberikan kepada sekolah swasta Cina sehingga mencecah RM12 juta, sedangkan banyak lagi sekolah kebangsaan yang daif infrastrukturnya perlu diberi perhatian.

“Selain itu, ia juga berkaitan dengan isu hal agama dan ekonomi yang dikecilkan status Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Perkasa turut merasakan kuasa sebenar dalam PH ialah DAP, yang dilihat bertindak membawa agenda kesamarataan selari dengan dasar parti itu, Malaysian Malaysia yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mereka juga kecewa melihat tindakan DAP tidak ditentang dengan tegas oleh pemimpin Melayu dalam PH sendiri, seolah takut untuk menegurnya.

Ditanya pendirian Perkasa selepas ini, Syed Hassan berkata, keputusan ADT petang semalam hanya untuk PRK DUN Semenyih, dan tidak terikat pada masa akan datang.

“Ia hanya untuk menzahirkan kekecewaan Perkasa sebagai NGO yang mempertahankan hak kepentingan umat Islam, Melayu dan Bumiputera. Ini bolehlah dianggap tindakan protes rasmi Perkasa secara tegas,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, Perkasa bersedia untuk mengubah pendirian di masa akan datang sekiranya PH mengambil tindakan positif demi kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Sama ada kita memberi sokongan kepada PH atau berpendirian berkecuali. Ianya berpandukan kepada tindakan positif yang jelas kepada Islam, Melayu dan Bumiputera. Kita akan pantau dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette