Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Common Estate antara TRX City dan Pemilik Plot Pembangunan Tun Razak Exchange di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Permohonan lesen bazar secara atas talian akan dijadikan peraturan baharu pada masa akan datang.

Langkah itu bagi mengelakkan orang tengah melakukan ‘ali baba’ tapak-tapak yang diperoleh dan kemudian mengenakan caj yang tinggi kepada peniaga sebenar.

Lantaran itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, permohonan lesen Bazar Ramadan 2019 secara online pada tahun ini merupakan percubaan untuk melihat sejauh mana keberkesanannya.

Menurutnya, sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi lesen bazar melalui persatuan-persatuan.

Dulu, kata Khalid, ada yang dapat 50 lot atau 100 lot dan kemudian lot-lot ini disewakan kepada peniaga pada harga yang lebih tinggi sehingga mencecah RM30,000 untuk satu lot.

“Ia menjadi mahal sebab persatuan akan jual kepada pihak lain hinggalah ke peringkat peniaga sebenar. Sebab itu jadi mahal,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian hartanah dengan pemilik tanah TRX di sini hari ini.

Sedangkan, kata Khalid, harga ditetapkan oleh DBKL hanya sekitar RM500 sahaja.

“Sebab itu, kali ini kita mahu pecahkan monopoli ini, ali baba dan memberikan kepada peniaga-peniaga sebenar.

“Ia termasuk peluang peniaga OKU, ibu atau bapa tunggal dan sebagainya. Penetapan itu akan ditentukan oleh Datuk Bandar,” ujarnya.

Permohonan lesen itu akan dilaksanakan mulai esok hingga tarikh tutup 14 Mac depan.

Proses semakan pemohon yang layak untuk ke proses pengundian mulai 23 Mac dan pengundian pada 27 hingga 30 Mac. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/kami-sokong-dbkl-tangkap-peniaga-lesen-ali-baba/