Kerajaan sedang dalam proses menentukan kaedah paling sesuai untuk mengenal pasti pemilik sah bagi pemegang akaun media sosial di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Gobind Singh

KUALA LUMPUR – RTM tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa sesetengah pihak dan tidak ada cubaan mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, pihaknya telah meneliti laporan yang disediakan oleh RTM berhubung sedutan ucapan menteri tertentu tidak ditayang ketika siaran langsung dan berpendapat, ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Gobind berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan RTM yang menyatakan dengan jelas hanya ucapan Perdana Menteri disiarkan secara langsung melalui stesen berkenaan.

“Sebenarnya, RTM tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah mematuhi SOP sedia ada dengan menyiarkan ucapan Perdana Menteri.

“Stesen ini juga telah berunding dan mendapat kebenaran daripada Kementerian  Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Dalam SOP RTM sudah jelas menyatakan apabila Perdana Menteri hadir sebuah majlis rasmi, hanya ucapannya sahaja akan disiarkan secara langsung oleh RTM.

“Jadi kita tidak boleh salahkan RTM kerana Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadiri majlis itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan mendakwa RTM cuba mensabotaj bosnya iaitu Anthony Loke dengan tidak menyiarkan ucapannya ketika siaran langsung tersebut.

Swee Kuan turut melahirkan rasa hairan dan terkilan bagaimana stesen milik kerajaan itu juga tidak menyiarkan ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada majlis sama sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban.

Anthony bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan beliau mengarahkan Swee Kuan mengeluarkan kenyataan tersebut sebaliknya dilakukan atas kapasiti peribadinya sahaja.

Jelas Gobind lagi, sekiranya terdapat sebab kukuh beliau tidak akan teragak-agak untuk memberi teguran kepada sesiapa pun, dengan niat memperbaiki perkhidmatan di RTM.

“Namun dalam hal ini, RTM tidak melakukan apa jua yang salah,” tegasnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/rtm-sabotaj-kerajaan-ph/