Wan Muhammad Azri Wan Deris
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berucap pada Ceramah Umum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Jalan Bangi Lama, Sungai Purun, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan rakan politiknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ujarnya, Syed Saddiq tidak menceritakan hal sebenarnya yang berlaku selepas proses penanaman calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 16 Februari lalu.

“Saya terkejut, sedih dan kecewa sebab saya tidak sangka sampai begitu dia buat saya. Kita bersahabat tapi berbeza parti politik, itu tidak mengapa. Tapi kita kena jaga ukhwah persahabatan, dan saya nampak dia cuba aniaya saya sebab saya Exco Pemuda UMNO.

“Sebenarnya saya tidak perlu dimasukkan dalam lokap tapi arahan daripada pihak atasan, hari kedua saya direman.

“Dia cuba raih simpati bahawa dia diserang oleh penyokong BN, itu matlamat dia sebenarnya,” katanya dalam Ceramah Umum di Jalan Bangi lama, Sungai Purun, semalam.

Jelas Papagomo, Barisan Nasional (BN) dihentam teruk di media sosial sebaik video Syed Saddiq yang mendakwa dirinya dipukul tular.

Katanya, warganet di media sosial tidak mengetahui situasi sebenar semasa proses penamaan calon mengambil tempat.

Justeru, tindakan Syed Saddiq yang bertindak berada di kawasan penyokong BN adalah salah dan tidak patut.

“Rakyat di luar sana tidak pernah pergi penamaan calon, dia tidak tahu bila proses penamaan calon ia berlangsung panas, dan tegang.

“Hanya orang parti sahaja yang tahu keadaan sebenar semasa proses penamaan calon sebab itu SPR tetapkan penyokong BN, PH duduk berasingan.

“Ramai yang kata kenapa nak maki Syed Saddiq bila dia berjalan keluar ke kawasan penyokong BN. Rakyat tidak tahu cerita sebenar,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati Papagomo tidak melakukan kesalahan serius terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Papagomo dibebaskan Rabu minggu lalu atas jaminan polis.

Beliau ditahan di rumahnya di Danau Kota, Setapak kira- kira jam 3 petang 17 Februari lalu selepas dipercayai terlibat dalam insiden serangan terhadap Syed Saddiq.

Penahanan itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan mencetak Syed Saddiq. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast