Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR –  Penerbitan Sukuk kerajaan dan korporat di Malaysia meningkat kepada RM199.90 bilion pada 2018 berbanding RM168.68 bilion setahun sebelumnya.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM72.68 bilion diterbitkan oleh sektor korporat, lebih rendah berbanding penerbitan Sukuk pada 2017 yang berjumlah RM87.65 bilion, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2018.

Ia berkata jumlah Sukuk belum tebus meningkat kepada RM844.21 bilion tahun lepas berbanding RM759.64 bilion yang dicatatkan pada 2017.

Bagaimanapun, peratusan penerbitan Sukuk kerajaan dan korporat kepada jumlah keseluruhan terbitan (bon dan Sukuk) menurun kepada 51.80 peratus pada 2018 daripada 53.05 peratus pada 2017.

Peratusan Sukuk kepada jumlah terbitan (bon dan Sukuk) oleh sektor korporat turut menurun kepada 68.92 peratus pada 2018 berbanding 70.9 peratus pada 2017.

Menurut SC, sebanyak 32 Sukuk denominasi ringgit telah diluluskan tahun lepas, lebih rendah berbanding 47 Sukuk yang diluluskan pada 2017.

SC turut melaporkan bahawa jumlah permodalan pasaran ekuiti patuh Syariah telah berkurangan kepada RM1.037 trilion pada tahun lepas daripada RM1.134 trilion pada 2017.

Permodalan pasaran ekuiti patuh Syariah mewakili 60.96 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran, yang bagaimanapun lebih tinggi berbanding 59 peratus yang direkodkan pada tahun 2017.

Secara keseluruhannya, saiz pasaran modal Islam berjumlah RM1.88 trilion pada 2018, lebih rendah daripada RM1.89 trilion pada 2017. – MalaysiaGazette