Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan lima projek berimpak tinggi bernilai hampir RM5 bilion di Kedah.

Projek-projek tersebut ialah pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang bernilai RM1.6 bilion dan pembinaan Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dengan kos sebanyak RM300 juta.

Selain itu, pelaksanaan kajian impak untuk pembinaan Taman Industri Petro-Kimia di Gurun bernilai RM 2 juta, pembinaan Perpustakaan Digital di Alor Setar RM15 juta dan pembinaan Lebuh Raya Koridor Utara, Fasa 1A dari Bandar Baharu ke Sungai Petani serta Fasa 1B dari Bandar Baharu ke Jambatan Sultan Abdul Halim RM 1.7 bilion.

Kelulusan projek-projek itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sempena lawatan kerja ke Kedah.

Azmin berkata, Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang diadakan semalam turut meluluskan pelaksanaan program yang bernama Kasih Ibu Darul Aman dengan peruntukkan sebanyak RM30 juta setahun.

Program ini bertujuan untuk menyediakan bekalan keperluan asas kepada 5,482 keluarga miskin terutama di Baling, Sik, Yan dan Kota Setar.

Selain daripada itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah meluluskan sebanyak RM1.132 bilion sebagai peruntukan Pembangunan Negeri Kedah untuk tahun 2019 yang merangkumi 201 projek bernilai RM1.049 bilion yang akan diteruskan dan 51 projek baharu yang bernilai RM82.5 juta akan dimulakan demi kesejahteraan rakyat.

Azmin berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai visi yang sama, iaitu menyampaikan perkhidmatan dan melaksanakan agenda perkongsian kemakmuran demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
– MalaysiaGazette