Radovan Karadzic
Radovan Karadzic

THE HAGUE – Hakim mahkamah rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan membuat keputusan muktamad terhadap kes pemimpin Bosnia Serb, Radovan Karadzic yang merupakan individu utama dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai pada Perang Balkan.

Keputusan tersebut akan menamatkan salah satu perbicaraan berprofil tinggi  berpunca daripada beberapa peperangan pada 1990 an menyaksikan kejatuhan Yugoslavia dan sekurang-kurangnya 100,000 warga Bosnia terbunuh, lapor Reuters.

Karadzic, 73, didapati bersalah pada 2016 kerana terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica yang menyaksikan 8,000 lelaki dan kanak-kanak Islam dibunuh oleh tentera Bosnia Serb.

Beliau juga didapati bersalah kerana mengetuai kempen pembersihan etnik dengan mengusir warga Croatia dan orang Islam dari kawasan Bosnia yang didakwa milik Serbia.

Berikutan rayuan yang dilakukan, para pendakwa raya mahu beliau dikenakan hukuman mati dan kesalahan pembunuhan beramai-ramai berikutan pembabitannya dalam dasar yang menjadikan warga bukan Serbia di beberapa bandar Bosnia sebagai sasaran pada awal peperangan itu.

Sementara itu, Karadzic merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya dan mahu perbicaraan semula.

Keputusan itu, adalah muktamad dan tidak boleh dirayu akan memberi kesan besar kepada negara bekas Yugoslavia, khususnya Bosnia, di mana komuniti etniknya kekal berpecah dan Karadzic masih lagi dilihat sebagai hero oleh kebanyakan warga Bosnia Serb.

Keputusan hakis rayuan itu akan diputuskan pada pukul 2 petang di mahkamah PBB di The Hague yang mengendalikan kes yang ditinggalkan Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia itu apabila ia ditutup pada 2017. – Agensi