Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR- “Jangan berselindung serta bersikap angkuh dengan jawatan serta jubah yang dipakai”

Itu jawapan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Ia gara-gara perkataan ‘Taliban’ yang digunakan Khairy semasa sidang Dewan Rakyat hari ini dan ditegur oleh Kor Ming.

Khairy kemudiannya menarik balik namun selepas itu Kor Ming mengeluarkan kenyataan yang bekas menteri itu tidak menghormati ‘kemuliaan’ Dewan Rakyat.

Menurut Khairy, Kor Ming sendiri banyak mencemarkan Dewan Rakyat walaupun kenyataannya dibuat di luar tetapi ia memberi kesan memandangkan jawatannya itu di Dewan Rakyat.

“Banyak kenyataan, tindakan serta keputusan yang telah dibuat beliau bukan sahaja telah mencemarkan ‘kemuliaan’ jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta institusi Dewan Rakyat, malah lebih teruk boleh mengganggu-gugat keharmonian rakyat di negara ini kerana cuba menyemai rasa sangsi serta membangkitkan rasa marah sebilangan rakyat di negara ini,” kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kor Ming juga sudah beberapa kali menghalalkan perkara yang dalam pertimbangan mahkamah dibangkitkan di dalam Dewan yang jelas bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(2) seperti yang banyak kali disebut oleh Ahli Parlimen Jelutong.

“Jelas sekali, Kor Ming telah membenarkan subjudis terhadap pertimbangan mahkamah. Ini bukan sahaja mencemar kemuliaan institusi Parlimen (legislature), malah telah turut masuk campur dan mencemarkan institusi kehakiman negara (judiciary),” katanya lagi.

Kor Ming turut menyatakan Khairy telah menghina Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tetapi rakyat sendiri boleh menilai sikap tidak adil beliau sepanjang mempengerusikan mesyuarat.

“Contohnya bagaimana beliau membenarkan perkataan ‘bodoh’ yang merupakan ‘unparliamentary word’ digunakan oleh Ahli Parlimen Tanjong pada hari Selasa (26 Mac 2019) lalu kononnya perkataan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana ahli Dewan.

“Sedangkan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(4), adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat kenyataan yang seksis. Tanpa perlu ditujukan kepada sesiapa sekalipun, ianya tetap salah,” kata Khairy.

Mengenai perkataan ‘Taliban’, Khairy berkata, Kor Ming yang memulakannya termasuk ketika berkempen di sebuah pasar pagi pada PRK Parlimen Cameron Highlands seperti yang dilaporkan oleh Oriental Daily pada 27 Januari lalu.

Selepas itu, pada 8 Mac pula, Kor Ming sekali lagi mengeluarkan perkataan yang sama di Pasar pagi Aulong, Taiping dan beritanya keluar dalam Sin Chew Daily dan China Press.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/28/taliban-kj-hina-dewan-rakyat/