Nazri Khan

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka cergas semula minggu depan, dengan pergerakan pasaran dalam jajaran kecil walaupun ekonomi global suram, kata penganalisis.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata, FTSE KLCI Bursa Malaysia dijangkakan membuat lantunan semula, didorong oleh rali semalaman di Wall Street, ulasan yang memihak kepada kadar faedah rendah oleh bank pusat global serta keyakinan terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China.

“FBM KLCI kini dilihat meningkat secara perlahan ke arah tahap sokongan 1,650 mata walaupun perkembangan global yang melibatkan komoditi makanan, emas merosot di bawah tahap harga psikologi US $1,300 dan dolar yang mengukuh, yang kesemuanya menunjukkan prospek positif untuk minggu depan dalam pasaran saham tempatan,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 yang dikeluarkan pada Rabu, menunjukkan kewajaran untuk melonggarkan dasar monetari.

Ini jelas dalam julat unjuran antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus bagi pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar 2019 (2018: 4.7 peratus) dengan anggaran mata sebanyak 4.7 peratus (Bank Islam: 4.5 peratus).

“Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada pertumbuhan 4.9 peratus pada 2019 (2018: 4.5 peratus), yang menunjukkan bahawa firma swasta secara aktif memperluas kapasiti pengeluaran mereka untuk meningkatkan skala ekonomi masing-masing,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI mencatatkan 23.03 mata lebih rendah kepada 1,643.63.

Indeks FBM Emas merosot 29.33 mata kepada 11,553.84, Indeks FBMT 100 turun 129.84 mata kepada 11,407.35 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 67.09 mata kepada 11,688.06.

FBM 70 susut 39.91 mata kepada 14,212.64, namun Indeks FBM Ace melonjak 17.36 mata kepada 4,832.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 205.64 mata kepada 16,969.13, Indeks Perladangan merosot 6.74 mata kepada 7,186.11, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 dari satu mata kepada 168.93.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 11.73 bilion unit bernilai RM9.12 bilion daripada 19 bilion unit bernilai RM13.22 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 8.1 bilion saham bernilai RM8.34 bilion berbanding 10.06 bilion saham bernilai RM8.86 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.15 bilion unit bernilai RM460.75 juta berbanding 2.38 bilion unit bernilai RM496.71 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE bernilai 1.47 bilion saham bernilai RM315.91 juta berbanding 2.0 bilion saham bernilai RM426.95 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast