Iran terus menerima tekanan ke atas import minyaknya oleh Amerika Syarikat. foto AGensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Iran dengan mensasarkan ekonomi pada bulan Mei.

Pegawai kanan pentadbiran Donald Trump berkata, sekatan baharu itu sempena ulang tahun penarikan semula Perjanjian Nuklear 2015 di antara Iran dan beberapa negara dunia,

“Kami hanya mahu kesan yang berterusan.

“Kami mahu perniagaan terus berfikir menjalankan perniagaan dengan Iran adalah idea yang mengerikan pada ketika ini,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menarik keluar perjanjian antarabangsa pada tahun 2015 yang direka untuk menafikan keupayaan Tehran dalam senjata nuklear dan beliau mengarahkan sekatan dikenakan sekali lagi terhadap negara itu.

Perjanjian itu, yang dipersetujui oleh Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Jerman, Rusia, China dan Iran, berusaha menghalang Tehran daripada membangunkan bom nuklear sebagai balasan untuk menghapuskan sekatan yang melumpuhkan ekonomi.

“Langkah tambahan itu akan diambil dalam beberapa minggu yang akan datang. Kalau kita dapat lakukan menjelang ulang tahun lebih baik,” katanya yang mengakui perlu mengambil masa untuk melaksanakan sekatan tambahan itu dan Jabatan Perbendaharaan sedang melakukannya.

Salah satu cara yang digunakan oleh Amerika Syarikat termasuk sekatan terhadap import minyak dari Iran.

Washington telah memberikan pengecualian kepada lapan pembeli minyak Iran, tetapi ia boleh mengubahnya.

Pegawai itu berkata, Amerika Syarikat mempunyai keupayaan untuk tidak memberikan pengecualian sama sekali.

Mengurangkan pengecualian akan menghadkan eksport minyak dari Iran, pengeluar keempat terbesar di OPEC.

Amerika Syarikat menetapkan sasaran awal untuk memacu eksport minyak Iran kepada sifar dan pegawai mengatakan bahawa matlamat itu tidak berubah. – MalaysiaGazette