Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan suntikan imunisasi yang tinggi diberikan di semua kawasan agar matlamat untuk menghapuskan penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin dapat dicapai.

“Dalam mengkaji kebolehlaksaaan tindakan mewajibkan suntikan vaksin, KKM turut mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk kementerian lain, NGO dan pertubuhan kesihatan antarabangsa.

“Pelaksanaan program imunisasi mandatori di negara-negara lain di seluruh dunia turut diteliti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Boon Chye berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) yang meminta KKM menyatakan langkah sama ada mengambil pendirian untuk mewajibkan suntikan vaksin diberikan kepada kanak-kanak yang baru lahir.

Mustapa juga ingin tahu bagaimana kerajaan menangani masalah ibu bapa yang menolak suntikan vaksin diberikan kepada anak mereka.

Menjawab soalan tersebut, Boon Chye berkata, KKM mengambil kira semua faktor penting sekiranya suntikan vaksin diwajibkan termasuk implikasi kepada ibu bapa, penyedia perkhidmatan imunisasi serta pusat jagaan, taska, tadika dan sekolah.

Malah katanya, ia turut meliputi faktor-faktor pendorong kepada kegagalan ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin yang perlu diperhalusi.

Sementara itu dalam isu sama, menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) Boon Chye berkata, KKM juga sedang melaksanakan pendekatan pendidikan dan advokasi dalam mendidik masyarakat dan glolongan anti vaksin.

Ujarnya, ia dilaksanakan dengan kerjasama pakar perubatan dan NGO yang aktif dalam menyampaikan mesej sahih, tepat dan jelas berkaitan imunisasi seperti Persatuan Pediatrik Malaysia dan Medical Mythbusters Malaysia termasuk saluran media sosial.

“Terkini, KKM bekerjasama dengan Suruhanjaya Mutimedia dan Komunikasi dalam memantau laman serta akaun media sosial yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai vaksin dan imunisasi.

“Semua aduan yang diterima berkaitan pengamal perubatan yang berdaftar dan menyebarkan maklumat tidak benar mengenai vaksin akan dirujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk tindakan seterusnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette