Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Cadangan melantik Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah tepat dan sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan kata Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Katanya, beliau menyambut baik cadangan melantik anggota Parlimen Parit Sulong itu bagi memastikan pembangkang memimpin PAC, dan ada ketelusan serta semak dan imbang dalam pengurusan kerajaan.

Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga menyambut baik berita Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar kembali menyertai PAC, ekoran pelantikan wakil pembangkang daripada Barisan Nasional (BN), mengetuai jawatankuasa itu.

“Kita menyambut baik keputusan Nurul Izzah untuk pulang ke PAC, kerana saya rasa kita ada banyak kerja untuk dibuat dan perlukan bantuan semua pihak,” katanya pada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang dan Pelancaran Bilik Darjah Pintar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manjalara di sini, hari ini.

Pada 22 Mac, Nurul Izzah mengambil keputusan meninggalkan PAC, selepas Pengerusinya Ronald Kiandee bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH), bersama enam lagi wakil rakyat UMNO Sabah tahun lalu.

Nurul tegas dengan pendiriannya bahawa PAC perlu diketuai oleh anggota Parlimen daripada blok pembangkang, seiring dengan janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menetapkan Pengerusi PAC Parlimen mesti dipilih daripada kalangan anggota Parlimen pembangkang.

Sementara itu, projek bilik darjah pintar SMK Manjalara adalah inisiatif gabungan tiga pihak iaitu sekolah itu sendiri, sumbangan PIBG dan komuniti setempat dalam menjadikan bilik darjah, sebagai satu tempat yang mampu menarik minat pelajar untuk belajar dan bersifat interaktif.

Sekolah itu telah membelanjakan sebanyak RM15,000 wang derma komuniti setempat dan sumbangan komputer riba dari PIBG yang telah mengubah suai sebuah kelas yang dijadikan sebagai projek perintis untuk digunakan oleh 48 orang murid sesi pagi dan petang.

— BERNAMA