KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menafikan dakwaan pihaknya meminggirkan bahasa Tamil.

Malah pihaknya dakwaan itu tidak berasas kerana KPM sentiasa memastikan mata pelajaran bahasa ibunda diberi perhatian.

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan bahasa ibunda kaum perlu sebagai memupuk perpaduan di negara ini, katanya dalam satu kenyataan.

KPM merujuk kepada laporan akhbar Malaysia Nanban pada 5 April lalu di bawah tajuk “Mengapakah Bahasa Tamil Dipinggirkan”.

Menurut kenyataan yang sama, dasar pendidikan yang digubal KPM sentiasa memastikan semua sekolah mempunyai peluang yang sama untuk cemerlang.

“KPM tidak pernah menafikan hak murid kaum India untuk mempelajari bahasa Tamil di peringkat menengah malah menawarkannya sebagai salah satu mata pelajaran tambahan kepada murid yang berminat,” ujarnya.

Data murid yang mengambil atau menduduki peperiksaan Bahasa Tamil bagi Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dari tahun 2012 telah meningkat daripada 8,107 calon kepada 9,479 calon pada tahun 2018.

Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, bilangan murid yang mengambil atau menduduki peperiksaan Bahasa
Tamil STPM menurun daripada 731 calon pada tahun 2012 kepada 686 calon pada tahun 2018.

Sementara itu, dalam memastikan kualiti semua guru termasuk guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil(SJKT) terus ditingkatkan seiring dengan perkembangan semasa, KPM mengambil pelbagai langkah.

Antaranya ialah mengadakan latihan dan program secara berterusan kepada guru disemua sekolah bagi memastikan pedagogi, kemahiran dan kompetensi mereka berada pada tahap yang tinggi.- MalaysiaGazette