KPM

KUALA LUMPUR – Seramai 95 orang penuntut Malaysia di Sudan masih berlindung sementara di Rumah Malaysia susulan pergolakan politik di negara itu.

Rumah Malaysia itu adalah kediaman rasmi Duta Malaysia di Syarik Riyard.

Education Malaysia Mesir (EME) berkata, jumlah penuntut Malaysia di Sudan adalah seramai 101 orang tetapi enam orang sudah selamat kembali ke Malaysia.

Menurutnya, pada masa ini universiti-universiti di di Sudan masih ditutup dan tarikh universiti dibuka semula masih tidak diketahui.

EME berkata, kebanyakan pelajar Malaysia menetap di sekitar Khartoum iaitu di Makrumah, Arkaweet dan Mujahideen.

Terdapat sebahagian mereka menetap di Asrama Turki (asrama yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan Turki) dan Asrama Universiti Antarabangsa Afrika, selain di Kompleks Petronas Khartoum (bagi mereka yang bertugas sebagai imam).

Sudan telah mengisytiharkan perintah darurat selama tiga bulan oleh Transitional Military Council pada 12 April lalu.

Pengisytiharan darurat bukan hanya membabitkan perintah berkurung tetapi turut mencakupi penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum selama 27 jam pada 11 April lalu.

EME akan terus mendapatkan perkembangan terkini daripada Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan untuk menyediakan bantuan sekiranya diperlukan. – MalaysiaGazette