Datuk M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Sikap membisu menteri India dalam Pakatan Harapan (PH) membuatkan ramai tertanya-tanya apakah peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut berkaitan komuniti itu selepas berada dalam kerajaan baharu.

Meskipun ramai pemimpin India dalam PH namun mereka didakwa sukar untuk ‘didekati’ bagi membantu mencari jalan terbaik, merunsingkan banyak pihak.

Ada kenyataan daripada segelintir pimpinan yang mengatakan mereka memerlukan masa untuk membetulkan segala kerosakan yang telah dilakukan lebih 60 tahun tetapi mendakwa masyarakat India kurang sabar untuk melihat perubahan bakal dibawa oleh PH.

Berikutan itu, Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) merangkap Ahli Dewan Negara, Datuk M Sambathan mencadangkan persidangan meja bulat dibuat dengan mengumpulkan semua pemimpin India di seluruh negara termasuk barisan pembangkang dan badan bukan kerajaan.

Persidangan itu perlu mengenepikan idealogi dan perjuangan politik, sebaliknya duduk semeja berbincang tentang isu yang menjadi masalah kepada kaum tersebut dan mencari jalan penyelesaian.

“Antara yang kita bincangkan tentulah tentang isu pendidikan khasnya status tawaran bagi kemasukan ke program matrikulasi. Jumlah pelajar cemerlang semakin ramai namun masa depan masih menjadi tanda tanya.

“Tidak guna juga asyik tuding jari salahkan kerajaan terdahulu, kini PH adalah kerajaan dan dalam kalangan mereka ada banyak pimpinan India termasuk yang berjawatan tinggi seperti menteri.

“Isu kemasukan ke matrikulasi sebenarnya benar-benar menyinggung dan merunsingkan perasaan masyarakat apatah lagi mereka paling banyak menaruh harapan dengan pemimpin India.

“Tidak apa, kita duduk semeja, anda cakap begitu banyak ‘kemusnahan’ telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu walaupun sebenarnya kerajaan BN banyak berjasa. Kita boleh duduk bersemuka, kita tidak perlu main tuding jari.

“Kita duduk bincang, ketengahkan masalah-masalah yang dihadapi, kita beri pandangan,  selain berikan cadangan-cadangan penyelesaian. Biar selepas ini pimpinan PH laksanakan sebaik mungkin. Demi komuniti, demi masyarakat India, kita duduk berbincang.

“Anda tentukan tempat, masa, agenda dan apa-apa yang dirasakan perlu, kita hadir. Saya harap anda pertimbangkan cadangan ini, kami dalam IPF sudah lama menyelami permasalahan masyarakat India, platform ini akan dipergunakan dengan baik sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Sejak minggu lepas kecoh tentang kegagalan pelajar India yang cemerlang mengikuti Program Matrikulasi.

Pelajar India yang mendapat keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia gagal mendapat tempat di matrikulasi.

Salah seorang pelajar terbabit yang sempat bercakap dengan MalaysiaGazette mengakui telah mengemukakan rayuan kerana mahu mengikuti Program Matrikulasi dan berharap berjaya mendapat tempat.

Sambathan juga mendedahkan partinya telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mendapatkan maklumat dan kedudukan tawaran kepada pelajar India bagi Program Matrikulasi.

Dalam memorandum itu,  IPF turut mengemukan rayuan agar pelajar yang mendapat pencapaian akademik yang baik diberikan peluang melanjutkan pendidikan dengan lebih baik pada masa hadapan. –MalaysiaGazette

Apa nasib pelajar cemerlang India tak dapat matrikulasi?