Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang ingin memberikan komen tentang pentadbiran negara oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) disaran agar menyemak semula Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, PH sudah menjanjikan konsep pengasingan kuasa tiga badan utama iaitu perundangan (legislative), pemerintah (executive) dan kehakiman (judiciary).

“Kita sudah janjikan pengasingan kuasa, jadi kalau komen daripada pihak lain dari segi pentadbiran negara dan negeri jadi kita rujuk balik kepada Perlembagaan. Tidak timbul isu pergaduhan cuma berbeza pendapat.

“Ini kita kena berbincang dan kepada pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang dibawa oleh kerajaan PH, dari segi keputusan kerajaan Pusat mengenai pentadbiran negeri Johor saya nasihatkan supaya pihak itu belajar mengetahui dan cari pengetahuan ambil iktibar daripada yang lepas supaya pentadbiran urus negeri adalah daripada kerajaan yang telah dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan logo baharu dan perkhidmatan bank bergerak Co-opbank Pertama (CBP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

30042019_PELANCARAN LOGO BAHARU DAN PERKHIDMATAN BANK BERGERAK CO-OPBANK PERTAMA_07
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof diiringi Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari (lima kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd. Razak (empat kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Logo Baharu dan Perkhidmatan Bank Bergerak Co-opbank Pertama (CBP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 APRIL 2019

Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengulas ‘pergeseran’ antara Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Redzuan turut berpendapat isu antara TMJ dan Dr Mahathir bukan krisis antara Negeri Johor dan Putrajaya.

Jelasnya, ia hanyalah perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak.

“Saya tidak nampak ini krisis, saya nampak perbezaan pendapat dari sudut hendak mengurus tadbir negeri dan pelantikan (Exco) dan sebagainya, saya lihat rakyat kebanyakan mahu kita laksanakan apa yang telah kita janjikan menurut Perlembagaan negara.

“Segelintir kecil sahaja bagi menidakkan dan ini saya nasihatkan supaya kita tidak mahu sensasikan isu ini dan bertegas kita akan teruskan mentadbir negara mengikut undang- undang dengan mengikut perlembagaan yang ada pada hari ini,” katanya lagi.

Hubungan antara istana Johor dan Dr Mahathir kelihatan tegang berikutan pelbagai isu selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara termasuk yang terbaharu isu rombakan exco kerajaan negeri Johor di bawah Menteri Besar baru, Datuk Dr Sahruddin Jamal. – MalaysiaGazette