P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Peguam pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah perlu merendah diri dan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina golongan ‘estet’ baru-baru ini.

Malah, peguam kanan itu sebenarnya tidak seharusnya menggunakan terma seperti golongan ‘estet’ yang memberi gambaran tidak bertamadun atau bermoral dengan sewenang-wenangnya.

Shafee berang dengan tindakan segelintir media yang didakwa sengaja melaporkan berita tidak benar berkait dengan anak guamnya itu ketika perbicaraan SRC International mengenai penyewelengan dana sebanyak RM42 juta Khamis lalu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II merangkap Ahli Dewan Undang Negeri Perai, P. Ramasamy, tindakan Shafee mencerminkan sikap sebenar golongan kaya yang memandang rendah terhadap komuniti tersebut.

“Saya tidak marah dengan Shafee, beliau sendiri datangnya dari kalangan masyarakat India, malah mungkin sehingga kini ada juga sanak saudara atau keluarga dan kawan dalam kalangan komuniti estet.

“Saya sedih dengan tindakan peguam hebat seperti anda yang menggunakan perkataan seperti itu bagi memberi gambaran dalam nada mengutuk kononnya warga estet atau pekerja ladang tidak berpengetahun, berpendidikan atau bertamadun.

“Mungkin anda sudah lupa, golongan ini mungkin tidak berpendidikan tinggi seperti anda atau kaya tetapi para pekerja estet ini dengan anak-anak mereka sebenarnya telah bekerja begitu keras untuk membangunkan negara yang kita banggakan.

“Tanpa sumbangan kewangan pekerja estet, Malaysia tidak akan maju seperti hari ini, biar saya singkap sedikit kepada anda, pada masa Perang Dunia II, Malaya adalah pengeluar utama getah ketika itu Britain yang sedang berperang dengan Jerman begitu bergantung dengan pengeluaran getah.

“Dengan kata lain, ianya adalah sumbangan pekerja ladang atau estet yang kamu maksudkan itu,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

MGF08082018_NAJIB MAHKAMAH22
Muhammad Shafee Abdullah

Kata Ramasamy, tindakan Shafee itu mungkin disebabkan beliau sudah lupa usulnya mahupun yang berada di sekelilingnya selain lupa untuk menghargai golongan tersebut.

“Saya sendiri daripada estet, ibu bapa berhijrah dan bekerja di ladang tetapi hanya dengan bimbingan serta hasil usaha mereka, saya menikmati kehidupan hari ini bersama-sama saudara yang lain.

“Bolehkah saya memandang rendah kepada orang estet? Ia sama seperti melihat ibu bapa saya! Tanpa mereka, siapakah saya?

“Shafee Abdullah mengutuk pekerja ladang, mungkin dia peguam hebat, kaya raya dan berpengaruh tetapi akhirnya anda bukan sesiapa kerana gagal dalam menilai manusia itu sendiri.

“Dia tidak mempunyai perasaan belas kepada golongan ini yang mungkin miskin dan tidak setaraf dengannya. Bagi saya, tidak lewat untuk anda mohon maaf secara secara terbuka dan ikhlas, tidak ada apa-apa yang kurang dalam diri anda jika berbuat demikian,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/10/shafee-hina-sangatkah-masyarakat-estet-waytha-moorthy/

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/10/masa-tun-m-gelar-masyarakat-india-keling-di-mana-waytha/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast