Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggantikan menteri tidak pandai menjalankan amanah dan tanggungjawab serta sentiasa membuat kenyataan menyakitkan hati rakyat.

Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM) membuat gesaan itu berikutan tingkah laku beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama yang berada dalam barisan Jemaah Menteri bersifat seperti duri dalam daging.

Menurut Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh, pemimpin dan menteri dari DAP terutamanya agak ketara dalam hal berkaitan rasis dan membangkitkan isu sensitif serta kebencian kaum.

“Kepimpinan PH hari ini perlu melihat tingkah laku menteri mereka yang akan merugikan parti itu sendiri.

“Tiba masanya Dr. Mahathir sendiri menggantikan menteri yang menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan ini daripada sentiasa menyakitkan hati rakyat.

“Malah, mengharamkan parti DAP mungkin lebih baik kerana bersikap rasis, suka membangkitkan isu sensitif dan kebencian kaum yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas beliau, sikap keterlaluan dan biadab sebilangan pemimpin DAP mutakhir ini tidak dapat dimaafkan lagi oleh orang Melayu, ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Tegasnya, tindakan pemimpin parti itu mengecam Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan beberapa kenyataan sebelum itu menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu.

“Jika tindakan DAP begini dibiarkan berterusan, ia mampu menjadi bom jangka yang akan meledakkan perpaduan kaum dan keamanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast