Saksi iaitu Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman berjalan keluar selepas selesai menghadiri perbicaraan hari ke-19 bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-37, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman mengakui syarikatnya, Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) tidak menjalankan  projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan politik.

Sebaliknya, kata bekas Pengarah Urusan IPSB itu, secara jelas tertulis dalam surat yang dikeluarkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa geran yang diberikan untuk projek ‘mesra rakyat’ sahaja.

Antara yang dilakukan di bawah projek CSR itu termasuk memberikan bantuan kepada penduduk luar bandar seperti bekalan air bersih, baik pulih rumah-rumah uzur, membina tandas curah selain menolong kanak-kanak dalam pelajaran termasuk bantuan buku dan lain-lain.

Shamsul mengakui bertanggungjawab memberi geran yang diterima Ihsan Perdana daripada 1MDB dan Yayasan Rakyat 1Malaysia untuk melaksanakan CSR mereka.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal balas dengan peguam bela, Harvinderjit Singh sebentar tadi juga mengakui seringkali mengadakan pertemuan secara langsung atau melalui telefon berbincang tentang input program-program CSR dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Razak.

Harvinderjit juga mendapatkan kepastian adakah program-program yang dijalankan pada tahun 2013 kerana pilihan raya umum namun Shamsul mengatakan secara kebetulan sahaja pilihan raya pada tahun sama.

Shamsul juga mendedahkan pihaknya menjalankan program CSR tidak mengira tempat termasuk di negeri dikuasai pembangkang ketika itu.

Ia termasuk Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor malah tidak meletakkan bendera atau logo parti di mana-mana program mereka. – MalaysiaGazette