BOLLYWOOD – Menyedari hakikat dirinya seorang selebriti terkenal yang tidak boleh lari daripada gosip, aktres popular, Priyanka Chopra terbuka dengan apa yang dilaluinya saban hari.

Times of India melaporkan, Priyanka tidak ambil pusing terhadap khabar angin terutama selepas berkahwin dengan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Nick Jonas.

Kata Priyanka, khabar angin terbaharu mengatakan beliau dan suaminya bercerai kerana sudah tidak sependapat selepas melangsungkan perkahwinan Disember tahun lepas.

“Pastinya Nick dan keluarganya ada sedikit terkesan dengan berita-berita seperti ini, tetapi bagi saya, ia tidak menjadi satu hal besar. Sejak bergelar artis, saya sudah sedia maklum tentang privasi kehidupan saya akan dikongsi dengan umum khasnya peminat.

“Negatif atau positif, saya adalah milik umum dan segala tentang saya bukan lagi peribadi. Bagaimanapun, ada juga perkara tertentu yang saya akan simpan sebagai hak peribadi saya.

“Tetapi pada masa sama, saya tidak banyak menghabiskan masa bercakap, berfikir dan kusut tentang gosip liar seperti ini, hakikat sebenarnya saya sangat bahagia itu sahaja,” katanya baru-baru ini.

Priyanka yang 10 tahun lebih tua dari Nick Jonas telah melangsungkan perkahwinan di Istana Umaid Bhavan di Jodhpur, India dengan mewah serta gilang gemilang Disember lepas.

Bagaimanapun April lepas, sebuah majalah hiburan di AS telah menyiarkan berita kononnya setelah berkahwin selama 117 hari, akhirnya pasangan ini membuat keputusan untuk bercerai berikutan sikap ‘Queen Control’ Priyanka.

Bintang Quantico ini juga dikatakan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah tersebut yang menyiarkan berita tersebut ketika pasangan ini sedang bercuti di Miami.

Priyanka yang bakal kembali dengan filem Bollywood terbaharunya di samping actor Farhan Akhtar bertajuk ‘The Sky is Pink’ Oktober ini juga menambah hubungan antara dirinya dengan Nick Jonas jauh lebih rapat serta akrab berbanding dulu. –MalaysiaGazette