Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Gerakan mahu Latheefa Koya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dilantik untuk membuka semula beberapa kes profil tinggi termasuk kes banglo yang membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Teoh Beng Hock.

Presiden parti itu, Datuk Dr Dominic Lau berkata, perkara itu sepatutnya menjadi antara penunjuk prestasi utama untuk 100 hari pertama Latheefa di pejabatnya.

“Peguam Negara Tommy Thomas tiba-tiba mengumumkan penarikan kes itu. Ketua SPRM pada masa itu juga terkejut dengan keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Lau, siasatan semula kes itu akan membina semula imej SPRM.

Lau menambah, kes lain yang perlu diteliti ialah skandal apartmen di Johor didakwa melibatkan dua ahli eksekutif PKR Johor.

Kes itu pernah dilaporkan oleh Gerakan kepada SPRM Johor tetapi mendakwa laporan tersebut enggan diterima.

Pada 3 September tahun lalu, Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan dari tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas pendakwaan menarik balik kes terhadap mereka.

Perbicaraan bersama Guan Eng, yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Phang, berkaitan dengan penukaran tanah dari pertanian kepada status kediaman, dan pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

“Latheefa mesti segera mengarahkan SPRM menerima laporan daripada orang ramai,” tambah beliau.

Bagi kes Teoh, mendiang dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima di Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor.

Lau berkata, Gerakan tidak tergesa-gesa mengkritik pelantikan Latheefa kerana memberi masa untuk beliau membuktikan keupayaannya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Latheefa sebagai pesuruhjaya wanita pertama sejak penubuhannya 52 tahun yang lalu.

“Walaupun pelantikan ini jelas melanggar manifesto Pakatan Harapan, kami berharap Latheefa dapat menyelesaikan KPI yang ditetapkan oleh Gerakan untuk membuktikan beliau berani dan tidak berkata-kata kosong dalam membantu Malaysia menentang rasuah.

“Saya percaya jika Latheefa boleh mencapai tiga KPI di atas, beliau boleh mengenepikan kritikan pelantikan politik dan juga membuktikan beliau kompeten,” katanya. – MalaysiaGazette