Najib Razak

BEKAS Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kini dilihat sudah mula bangkit daripada kekecewaan selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.

Jika dahulu, Najib jatuh disebabkan oleh kuasa media sosial. Pelbagai cemuhan, tohmahan dan kutukan dilemparkan melalui pelbagai platform media sosial sehingga akhirnya parti
pimpinan beliau gagal mengekalkan kuasa.

Ada beberapa kesilapan yang menyebabkan parti Barisan Nasional gagal mempertahankan kuasa. Salah satunya adalah bertitik-tolak daripada serangan tanpa henti rakyat terhadap
akaun media sosial milik Datuk Seri Najib.

Jika tahun lepas, dan tahun-tahun sebelumnya, Najib dilihat tidak begitu mesra dengan rakyat melalui media sosial. Beliau gagal menjawab persoalan demi persoalan yang diajukan oleh rakyat.

Bermula daripada isu ekonomi, pertukaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, pengangguran, sehingga menyentuh hal-hal peribadi, semuanya gagal dijawab oleh beliau. Itu adalah setahun yang lalu, iaitu semasa Najib memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Selepas tewas, Najib dilihat tercari-cari rentak baru dalam pentas politik. Pertuduhan di mahkamah pula menambah lagi tekanan beliau sehingga mengakibatkan ada dalam kalangan ahli politik mula meninggalkan blok pembangkang dan menyertai blok kerajaan.

Dengan secara tiba-tiba, istilah 'bossku' pula muncul di saat suhu politik di Malaysia sedang hangat sehingga menaikkan semula nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib. Setelah gagal menambat hati rakyat melalui media sosial pada PRU 14, nampaknya kali ini Najib telah betul-betul bersedia berhadapan dengan rakyat.

Kita semua tidak tahu berapa ramai jumlah 'tentera' media sosial yang ditugaskan, namun pasukan beliau dilihat seolah-olah sudah mampu menghidu kelemahan pihak lawan.
Ini kerana, hampir keseluruhan menteri dan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) tidak begitu popular di media sosial. Mereka juga tidak terkedepan dan gagal menjawab
persoalan demi persoalan yang dilemparkan oleh rakyat.

Melihat kepada kelompongan yang ada, pasukan media sosial milik Datuk Seri Najib mengambil peluang dengan menyerang tanpa henti menteri kabinet PH. Serangan demi serangan berlandaskan fakta mengakibatkan pihak PH hanya mengambil
langkah berdiam diri. Ada juga beberapa orang pemimpin tertinggi PH cuba menjawab semula melalui media sosial, namun jawapan mereka disusuli komen-komen negatif daripada rakyat.

Jika PH ingin terus kekal berkuasa, berusahalah menjawab persoalan dan menangani keresahan rakyat yang dilontarkan melalui media sosial.  Jika tidak, PH akan ditolak oleh rakyat, sama seperti apa yang berlaku terhadap kerajaan sebelum ini.

Artikel disumbangkan oleh Syahmi Minhad