Najib Razak

KUALA LU LUMPUR – Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung minit mesyuarat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Rengarah SRC International Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil akhirnya hakim membuat keputusan bahan itu tidak boleh dijadikan bukti oleh pasukan pendakwa raya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membuat keputusan itu berkata, beliau membenarkan permohonan oleh pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah bahawa minit mesyuarat pada 7 September 2011 tidak diperakui sebagai bahan bukti.

Mohd Nazlan memerintahkan bahawa minit-minit mesyuarat yang disebutkan itu kekal sebagai item ID499 ketika ini dan pasukan pendakwa hanya boleh membuat rujukan dan tidak sesekali menyoal isi kandungannya.

“Setakat ini sehingga dapat dibuktikan bagaimana minit mesyuarat ini diperolehi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ianya hanya kekal sebagai ‘ID’ sehingga itu,” perintahnya.

Ketika berhujah, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram menegaskan, dokumen minit mesyuarat itu sepatutnya diterima sebagai bahan bukti kerana saksi sendiri telah menyerahkannya kepada SPRM sebagai bukti sokongan.

Bagaimanapun, peguam bela, Harvinderjit Singh ketika soal balas melontarkan persoalan seandainya minit mesyuarat itu benar-benar wujud dan bukan ‘rekaan’ maka seharusnya setiausaha mempunyai salinan minit tersebut dan dibentangkan ketika mesyuarat Lembaga Pengarah.

“Dan bukannya ketika serbuan SPRM mendapat minit mesyuarat tersebut daripada saksi,” ujarnya.

Sebelum itu Harvinderjit juga mendakwa dokumen tersebut meragukan termasuk tarikh ia diserahkan kepada SPRM yang tidak diketahui.

Kata Harvinderjit, kandungan ketika perbincangan mesyuarat Lembaga SRC International ternyata berbeza dari minit mesyuarat yang didakwa berlaku antara Nik Faisal dan Najib.

Terdahulu saksi ke-39, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail berkata, kandungan minit mesyuarat itu bentangkan kepada Lembaga Pengarah semasa pertemuan mereka pada 13 September 2011 dan disahkan dalam minit mesyuarat mereka. –MalaysiaGazette