Foto Facebook Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengambil langkah pantas apabila akan melanjutkan kontrak dua pemain mudanya iaitu Mohammad Fayadh Zulkifli Amin dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, selain meletakkan harga tebus nilai sebanyak RM5 juta setiap seorang.

Pengumuman berkenaan dibuat Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris menerusi laman rasmi KFA semalam.

Beliau yang memaklumkan kedua-dua bakat baharu itu akan dilanjutkan tempoh kontrak dari tiga ke lima tahun.

“Lanjutan kontrak kedua- dua pemain yang kini berusia 21 tahun itu juga akan turut disertakan dengan harga tebus nilai sebanyak RM5 juta bagi kedua-dua pemain selaras potensi dan juga bakat mereka miliki.

“KFA akan memuktamadkan perjanjian serta lanjutan kontrak ini selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA Kedah menentang FELDA United di Stadium Darulaman malam ini.

“Langkah ini sejajar dengan misi dan visi persatuan yang komited menjaga kebajikan serta bakat setiap pemain bernaung di bawah persatuan dan juga memastikan situasi menang-menang antara persatuan dan pemain jika pemain mendapat tawaran beraksi di peringkat lebih tinggi kelak,” katanya.

Sebelum ini Fadzrul Danel yang pertama kali bersama skuad Lang Merah musim ini sentiasa menjadi pilihan jurulatih, Aidil Sharin Sahak dalam kesebelasan utama.

Fayadh yang melakukan penampilan pertama selama 11 minit dalam aksi Liga Super Februari lalu ketika menentang FELDA United berjaya memukau dengan aksi lincah serta menjaringkan gol menarik ketika menentang PKNS baru-baru ini. – MalaysiaGazette