Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya merombak kepimpinan negara agar jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada pemimpin yang berintegriti dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi dan kewangan negara.

Gesaan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Ikatan Malaysia susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) yang menyangkal tuduhan Lim Guan Eng bahawa bayaran balik GST telah dirompak oleh kerajaan terdahulu.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia memandang serius kenyataan Menteri Kewangan dan menyifatkan tuduhan liar sebegini tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Menteri Kanan kerajaan, lebih-lebih lagi memegang portfolio Menteri Kewangan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, kenyataan yang tidak benar daripada Menteri Kewangan memberikan implikasi langsung terhadap ekonomi negara dan pelaburan asing ke dalam negara.

“Bagaimanakah pelabur asing akan yakin dengan ekonomi Malaysia jika Menteri Kewangan berkelakuan seperti kebudak-budakan dengan menyebarkan tuduhan-tuduhan liar sehingga orang luar tidak yakin dengan kepimpinan kerajaan hari ini?

“Di saat ringgit makin lemah dan pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri menyebabkan ekonomi negara makin parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Shahir, menariknya, PAC turut melaporkan penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit.

Jelasnya, Menteri Kewangan seharusnya peka tentang isu dan takrifan akaun serta sebab di sebalik penangguhan, bukan
memburukkan ekonomi Malaysia demi menyebarkan tuduhan berunsur jahat untuk memburukkan kerajaan terdahulu.

Beliau turut menyatakan bahawa Dewan Pemuda Ikatan Malaysia khuatir dengan keadaan ekonomi Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Ini selepas PAC turut mengumumkan bahawa kerajaan menggunakan dividen khas Petronas berjumlah RM 30 billion untuk tahun 2019.

“Jelas menunjukkan bahawa Petronas dijadikan tempat berpaut untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi kerajaan Pakatan Harapan.

“Jangan jadikan Petronas seperti habis madu, sepah dibuang. Diharapkan aset negara ini juga tidak dijual kepada syarikat asing atau swasta, seperti penjualan syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah dan perancangan penjualan Malaysian Airlines,” ujarnya. – MalaysiaGazette