Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mahu golongan LGBT mengambil kesempatan dan bersifat oportunis terhadap kebebasan bersuara, berucap serta berhimpun seperti terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, pertubuhan Melayu itu menyeru kerajaan Pakatan harapan (PH) mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada dengan pergerakan serta perjuangan melibatkan LGBT yang bercanggah dengan Islam.

Naib Presidennya, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, beliau kesal dengan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin bahawa perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Dataran Merdeka pada 9 Mac lalu yang disertai aktivis LGBT tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, dakwaan Mohamed Hanipa bahawa pihak Peguam Negara tidak mempunyai kuasa di bawah mana-mana undang-undang untuk mendakwa apa-apa perbuatan yang dikatakan bercanggah dengan Islam juga tidak munasabah dan tidak dapat diterima akal.

“Kami sungguh kesal kerana pernyataan sedemikian menggambarkan negara kita menerima dan mengiktiraf golongan LGBT, sedangkan LGBT bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan.

“Sungguh pun Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 merujuk kepada semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, tetapi ia perlu ditafsirkan dalam konteks atas tujuan apa perhimpunan tersebut diadakan.

“Katakanlah dianjurkan perhimpunan atas tujuan menyokong perjuangan komunisme, adakah ia dibenarkan? Semestinya tidak, kerana komunisme dan LGBT juga bertentangan dengan ajaran Islam, maka perhimpunan LGBT sepatutnya juga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa menyatakan, kerajaan sepatutnya mendidik masyarakat untuk menolak amalan songsang golongan LGBT kerana dikhuatiri Allah akan menurunkan bala.

Menurut Dr. Amini Amir, kerajaan perlu beriltizam menolak sebarang bentuk amalan songsang termasuk LGBT kerana ia bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

Kerajaan, ujarnya perlu bertindak tegas terhadap pengamal dan pendokong LGBT kerana jika tiada tindakan tegas dilaksanakan, golongan berkenaan akan mendakwa amalan mereka direstui pemerintah dan akan mempromosi segala amalan songsang itu kepada masyarakat.

Beliau menyatakan, ada peruntukan undang-undang yang dapat mengekang perhimpunan LGBT, iaitu berkelakuan tidak senonoh atau berkelakuan seperti sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam atau norma nilai masyarakat ketimuran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast