Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia diletakkan dalam senarai negara ketiga paling teruk di Asia untuk pengembara solo wanita, menurut kajian blog pengembaraan bebas berpangkalan di Australia, Asher & Lyric.

Menurut Asher & Lyric, Malaysia mendapat penarafan paling buruk disebabkan skor rendah dalam kategori keganasan pasangan intim dan isu-isu berkaitan ketidaksaksamaan jantina.

“Apa yang mengejutkan kami adalah jurang yang lebar di antara Singapura dan Malaysia meskipun hanya dipisahkan oleh sebuah jambatan yang pendek,” katanya.

Dalam indeks tersebut, Singapura diangkat sebagai negara kedua paling selamat selepas Sepanyol.

Kota Singa itu juga dinobatkan negara paling selamat di Asia dan menjadi satu-satunya negara Asia yang berjaya menduduki senarai 10 negara paling selamat untuk pelancong wanita solo.

Malaysia pula yang meraih skor 527.64 atau D+ diletakkan sebagai negara ke 11 paling bahaya di dunia untuk pengembara solo wanita.

Thailand menduduki tangga ke-10 manakala India di tangga kesembilan.

Apa yang menarik, Jepun yang terkenal sebagai salah sebuah negara paling selamat di Asia diletakkan di tangga ke-20 disebabkan penarafan rendah dalam dua kategori iaitu keganasan teman bukan seksual (kedudukan nombor lapan teratas dunia) dan jurang jantina global (kedudukan 10 teratas dunia).

Indeks Bahaya Wanita dihasilkan bersandarkan kepada kajian daripada pelbagai sumber seperti Undian Gallup World, Langkah-Langkah Kesaksamaan 2030, Wanita PBB, Institut Georgetown (Diskriminasi Undang-Undang dan Keganasan Teman Intim), Forum Ekonomi Dunia dan Program Pembangunan PBB dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.-  MalaysiaGazette