KUALA LUMPUR – Pembabitan wanita dalam bidang keusahawanan membuktikan golongan itu mampu menyaingi lelaki dalam meningkatkan ekonomi negara.
Justeru, perkembangan positif itu memperlihatkan wanita mampu menjana pendapatan lumayan bukan sahaja untuk keluarga, tetapi turut memperkasakan ekonomi negara.
Menurut Ketua penaja Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Intan Rahmah Ali, pemerkasaan wanita mempunyai potensi untuk membuka peluang tambahan pendapatan per kapita yang dianggarkan berjumlah RM9,200 kepada negara.
Katanya, mengikut kajian Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OEDC) mengenai ketidaksamaan gender, mendapati peningkatan pendapatan isi rumah yang dikawal wanita membawa manfaat kepada anak-anak dan keluarga keseluruhannya.
Kajian itu juga, katanya, mendapati peningkatan tahap perbelanjaan untuk pendidikan wanita dan gadis menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi sehingga 50 peratus di negara ahli OEDC sejak 50 tahun lalu.
“McKinsey & Company (tahun 2014) merumuskan kesaksamaan ekonomi wanita bagus untuk perniagaan dengan syarikat dapat meraih manfaat besar dalam konteks kecekapan organisasi seperti meningkatkan peluang kepimpinan untuk wanita.
“Syarikat dengan tiga atau lebih wanita dalam pengurusan kanan juga meraih mata lebih tinggi dalam semua ukuran dimensi kecekapan organisasi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata, wanita mampu menjalankan tugas lebih baik dalam bidang itu kerana umumnya mereka mempunyai wawasan dan kebijaksanaan emosi yang lebih tinggi.
Sementara itu, katanya, beberapa negara jiran mempunyai kadar penglibatan tenaga buruh wanita jauh lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu Myanmar 75.2 peratus, diikuti Kemboja (78.8 peratus), Laos (76.3 peratus), Vietnam (73 peratus) dan Thailand 75.2 peratus.
“Statistik ini meninggalkan kita dengan persoalan, ke mana pergi wanita dan di mana mereka kini dalam masyarakat kita.
“Persoalan seterusnya apakah manfaat sosio-ekonomi dalam pemerkasaan wanita dan apakah cabaran yang dihadapi mereka serta bagaimana hendak mengatasinya,” katanya.
Intan Rahmah berkata, kajian Bank Dunia mengenai penglibatan wanita Malaysia dalam tenaga kerja mendapati wujud satu corak yang menerangkan situasi mereka berusia lebih dari 26 tahun, agak sensitif kepada kitaran perubahan hidup berbanding negara lain.
Manakala wanita yang berkahwin di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai kadar penglibatan tenaga buruh paling rendah.
Selain itu, ujarnya, wanita Malaysia juga bersara lebih awal berbanding rakan lelaki yang menjadi rakan sekerja.
“Bank Dunia menyifatkan situasi ini berlaku kerana wanita terperangkap dalam sindrom ‘dwi bebanan’ iaitu pengurusan anak-anak atau orang tua di rumah.
“Selain itu, faktor menyumbang kepada jurang kadar penglibatan tenaga buruh ini ialah wanita yang meninggalkan pasaran kerja selepas umur 26 tahun tidak akan kembali menyertainya lagi.
“Situasi ini dikenali sebagai profil satu kemuncak, berbanding negara lain di Asia seperti di Jepun dan Korea, mereka mempunyai profile dua kemuncak, di mana terdapat penglibatan semula wanita dalam tenaga kerja selepas mereka mencapai umur 35 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette
















