Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengutuk keras tindakan rejim Israel mengerahkan tenteranya untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin di perkampungan Sur Baher, Wadi al Hummus, Timur Jerusalem, Palestin.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ratusan tentera Israel beserta jentera beratnya telah mula meroboh kediaman rakyat Palestin walaupun mendapat tentangan daripada kerajaan Palestin dan masyarakat antarabangsa.

Katanya, Mahkamah Tinggi Israel telah meluluskan permohonan tentera rejim itu untuk merobohkan kediaman rakyat Palestin dan bermulanya perobohan terbesar dalam sejarah sejak tahun 1967.

“Alasan keselamatan digunakan Israel untuk merobohkan kediaman rakyat Palestin di perkampungan tersebut tidak boleh diterima, memandangkan telah diketahui umum pencerobohan tanah dan kediaman penduduk Palestin oleh Israel adalah untuk meluaskan kawasannya dan membina penempatan haram.

“Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) membantah perobohan itu, Israel tetap angkuh dan melaksanakannya.

“Apa yang jelas hari ini, Israel sekali lagi melanggar perjanjian yang ditandatanganinya di Oslo, Norway pada tahun 1993 dengan menceroboh kawasan pemerintahan kerajaan Palestin dan Resolusi 446 PBB yang melarang Israel menceroboh, membina dan memindahkan penduduk Isreal ke wilayah Palestin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Abdul Hadi berkata, parti itu mendesak OIC dan Liga Arab mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan campur tangan dalam pecerobohan kediaman rakyat Palestin di wilayah itu.

Tegas beliau, Pas juga turut mendesak negara Islam memberikan sokongan padu dan berdiri teguh bersama Palestin dan rakyatnya dari kekejaman rejim Israel.

“Dunia harus bertindak atas kekejaman Israel dan mengenakan sekatan sama ada politik mahupun ekonomi terhadap rejim berkenaan.

“Sudah sampai masanya dunia bertindak membela nasib rakyat Palestin. Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak tegas ke atas rejim Israel.

“Walaupun pelbagai resolusi dan tekanan dikenakan terhadap rejim Israel, mereka tetap meneruskan agendanya kerana dilindungi oleh beberapa negara kuasa besar dunia.

“Dunia perlu bersatu melabelkan Israel sebagai negara pengganas. Mereka membunuh, merogol, menghalau warga Palestin dari negeri sendiri tidak kira kanak-kanak, wanita atau warga emas,” katanya.

Ujarnya, hanya pengganas sahaja yang mampu dan berupaya berbuat demikian dan sampai bilakah umat Islam memejam mata serta membiarkan rejim itu bertindak demikian.

Kata beliau, selagimana Islam dan umatnya tidak bersatu dan berpegang dengan ajaran agamanya, selagi itulah Islam dan umatnya lemah serta akan diperkotak-katikkan oleh musuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast