KUALA LUMPUR – Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak lagi relevan jika diperkenalkan semula selepas dimansuhkan pada tahun 2012.
Ahli Dewan Negara, Senator Husain Awang berkata, ia akan menyebabkan kerugian besar terhadap prestasi dan minat murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Jelas beliau, majoriti murid yang tinggal di kawasan luar bandar gagal menguasai bahasa Inggeris menyebabkan tahap pendidikan Malaysia menjunam.
“Oleh itu, kegagalan dasar PPSMI sebelum ini menyebabkan subjek Matematik dan Sains merosot dalam kalangan murid,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Baru-baru ini, isu PPSMI hangat diperkatakan di media selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang memperkenalkan semula dengan sistem baharu.
Menurut Husain, kerajaan perlu mengambil iktibar dalam pelaksanaan semula PPSMI sebelum ini.
Katanya, mengikut laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pencapaian murid semakin merosot dengan subjek Matematik berada pada kedudukan ke-26, manakala Sains di kedudukan ke-32 tahun 2011.
Beliau berkata, laporan Programme for International Student Assesment (PISA) pula menyatakan Malaysia berada di bawah gred purata antarabangsa dengan subjek Matematik di kedudukan ke-52 dan Sains ke-53 pada tahun 2012.
“Malahan, murid negara ini juga tidak suka bersaing berbanding negara lain di rantau ini seperti Vietnam, Singapura dan Thailand.
“Sekiranya dasar sebenar kerajaan untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris, kerajaan seharusnya membuat penambahbaikan PPSMI seperti Highly Immersive Programme (HIP) yang bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
“Selain itu, Program Dwibahasa (DLP) di bawah dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBI) yang dimulakan pada 2016 bagi mengantikan PPSMI seharusnya dikaji semula kerana boleh mewujudkan dualisme iaitu teori berasaskan dua dasar berlainan dalam pendidikan apabila program itu dijadikan pilihan setiap sekolah,”ujarnya.
Tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan akan membentangkan kajian impak pelaksanaan DLP tahun ini dan menimbulkan persoalan bila akan dibentangkan dan sejauh manakah keberkesanannya.
Kata Husain lagi, murid bukan bahan eksperimen kerajaan dan hak mereka untuk memahami subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda tidak boleh dinafikan. – MalaysiaGazette