Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam terkejut dan kesal apabila mendapati dua akaun media sosialnya, Facebook dan Instagram telah dilumpuhkan berkuatkuasa semalam.

Katanya, ketika membuka media sosial itu, beliau menerima notis dari pihak Facebook dan Instagram mendakwa akaun itu ditutup atau dilumpuhkan kerana telah melanggar terma dan syarat ditetapkan.

“Facebook dan Instagram mengatakan kononnya saya telah melanggar terma, sedangkan posting saya (petang semalam) ialah majlis hari jadi anak saya yang ke-11 Amira Najihah.

“Apa masalah saya posting hari jadi anak saya? Tak ada apa yang salah, tetapi kenapa sampai ke tahap akaun Facebook saya dilumpuhkan atau dihapuskan.

“Ini adalah hari paling malang, paling malap, paling menyedihkan dalam hidup saya, kalau masuk lokap pun saya boleh bertahan lagi, tapi hari ini kebebasan di negara ini sudah mati, demokrasi di negara ini sudah mati,” katanya dipetik kenyataannya menerusi Youtube hari ini.

Menurut Lokman, dengan penghapusan kedua-dua akaun media sosial miliknya itu, segala hasil kerja beliau yang dikumpulkan selama ini musnah dalam sekelip mata.

Beliau mendakwa, Facebook dan Instagram di Malaysia ini dikuasai oleh pihak yang mempunyai kepentingan dengan Pakatan Harapan (PH).

Kata Lokman, beberapa minggu lalu, akaun Facebooknya pernah disekat selama tujuh hari sebaik beliau membangkitkan isu video seks luar tabii yang melibatkan seorang menteri kanan.

“Kemudian apabila saya pergi ke Jakarta, Indonesia untuk membuat laporan forensik terhadap video itu, sekali lagi akaun Facebook saya disekat selama tujuh hari.

“Semalam, apabila saya melaporkan Pengerusi Gabungan NGO Islam Melaka telah pun berangkat ke Thailand untuk buat laporan forensik berhubung video itu, kedua-dua akaun saya terus dihapuskan,” katanya.

Menurutnya, beliau memiliki akaun Facebook sejak kali pertama medium sosial itu masuk ke Malaysia tahun 2006.

Maknanya, tegas beliau, sudah 13 tahun memiliki akaun Facebook dan tujuh tahun akaun Instagram, yang menyaksikan segala maklumat mengenai program parti, NGO dan peribadi dalam akaun itu hilang.

“Saya benar-benar sedih kerana semua sejarah hidup saya yang saya rakam dan simpan dalam dua akaun itu dilumpuhkan sesuka hati hanya kerana hendak melindungi pelaku seks luar tabii.

“Saya harap sahabat yang hendak mengikuti perkembangannya boleh terus ke Telegramnya, Dato Lokman Adam, yang sehingga kini mempunyai 23,334 rakan,” katanya. – MalaysiaGazette