Teng Chang Khim

SHAH ALAM – Selangor telah merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM19.656 bilion bagi sektor perkilangan sepanjang April tahun lepas sehingga Mac tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.637 bilion adalah pelaburan tempatan manakala RM11.018 bilion pula adalah pelaburan asing.

“… dan sebanyak 281 projek perkilangan pula telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh April 2018 hingga Mac 2019,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Teng (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN- Sungai Panjang) berhubung nilai pelaburan di Selangor sejak Mei 2018.

Mohd Imran juga ingin tahu jumlah perbelanjaan oleh kerajaan negeri dalam usaha menarik pelabur ke negeri ini.

Berhubung perkara itu, Teng berkata Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) telah memperuntukkan sebanyak RM20.592 juta, bagi tempoh Januari hingga Disember 2018 dan RM7.109 juta, bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 bagi melaksanakan program berkaitan pelaburan di Selangor.

“Perbelanjaan ini bagi melaksanakan program ‘International Business Summit 2019’, program pembangunan dan latihan usahawan dan misi pelaburan ke luar negara serta pembabitan pameran tempatan dan luar negara.

“Invest Selangor turut menganjurkan program dialog bersama pelabur, lawatan kilang dan mengatur pertemuan dengan pelabur jika berlaku sebarang masalah,” katanya. – MalaysiaGazette