Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Tiga resolusi dicapai dalam mesyuarat pertama Dewan Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (DPIM) hari ini, yang mencakupi ideologi politik matang dan bersih.

Persetujuan itu melibatkan agenda DPIM untuk mengukuhkan Pemuda Gagasan Sejahtera, melebarkan hubungan permuafakatan bersama parti blok pembangkang dan memperbanyakkan program berkaitan anak muda.

Menurut Ketua Pemudanya, Shahir Adnan, ia akan menjadi titik mula kepada sayap parti untuk memperkukuhkan suara anak muda dan menjadi platform politik baharu bagi mengutarakan isu berkaitan golongan itu.

Beliau menjelaskan, antara yang dicapai dalam mesyuarat itu antaranya DPIM bersetuju mendukung agenda mengukuhkan Pemuda Gagasan Sejahtera melibatkan Dewan Pemuda Pas Malaysia dan Pergerakan Pemuda Berjasa Malaysia.

“Kita juga bersetuju selain dengan parti blok pembangkang, akan turut bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab dan persatuan anak muda pelbagai kaum atas semangat bangsa Malaysia demi membina negara yang maju, adil dan saksama serta masyarakat yang bahagia.

“Terakhir sekali, kita bersetuju mengembleng tenaga memperbanyakkan program untuk anak muda di peringkat nasional dan negeri demi membela nasib mereka yang tertekan dan tertindas disebabkan janji palsu Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama DPIM dan Majlis Penyampaian Watikah DPIM di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mesyuarat dan penyampaian watikah itu disempurnakan Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, DPIM memperlihatkan sayap Ikatan yang makin kuat dan berwawasan dengan menampilkan barisan kepimpinan yang profesional dan berideologi politik matang.

“Kepimpinan DPIM bagi sesi 2019-2021 melibatkan pemimpin anak muda profesional yang membawa ideologi politik matang dan bersih agar menjadi contoh kepimpinan politik masa hadapan,” katanya.

Berikut senarai kepimpinan DPIM bagi sesi 2019-2021;

Ketua Pemuda: Shahir Adnan

Naib Ketua Pemuda: Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz

Naib Ketua Pemuda: Datuk Jonathan Lim

Naib Ketua Pemuda: Vijayiyakumar Nadarajah

Penolong Setiausaha: Aiman Ikmal Abdul Aziz

Bendahari: Muhammad Dhiyauddin Saharudin

Ketua Penerangan: Yusman Saidi

Pengarah Strategi: Has Zain

Sembilan Exco Pemuda ialah Mohamed Hilmi Che Ramli, Ridwan Syah Edrus, Mohammad Amirul Saharuddin, Muhammad Afif Eqmal Mohd Amzuki, Salman Adnan, Ganesan Maniam, Feradza Badri, Muhammad Adlin Ab. Ghani dan Gunaseelan Nandan Cumaran.

Manakala Pengerusi Tetap ialah Shahrul Noor Ahmad dan Timbalan Pengerusi Tetap, Nik Makarimi Mohd Bakri.

Empat Ketua Pemuda Negeri ialah Mohamed Hilmi Che Ramli (Kelantan), Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz (Selangor), Ridwan Syah Edrus (Wilayah Persekutuan) dan Mohammad Amirul Saharuddin (Perak). – MalaysiaGazette