Brenton Tarrant. foto agensi

WELLINGTON – Pihak berkuasa New Zealand memohon maaf apabila suspek pembunuhan 51 jemaah menunaikan solat di dua masjid di Christchurch ‘mampu’ menghantar surat berbaur kebencian dari penjara kepada masyarakat luar.

Agensi melaporkan, Jabatan Pemulihan New Zealand memohon maaf kerana memberikan kebenaran kepada warga Australia, Brenton Tarrant yang kini sedang menunggu hari perbicaraan menghantar surat provokasi kepada masyarakat umum.

Kandungan surat itu yang kini sudah tular dalam kalangan pengguna netizen sarat dengan kebencian pastinya tidak sesuai dan menyemarakkan rasa serta ketegangan antara kaum.

Sebelum ini kerajaan New Zealand telah berikrar untuk menyekat Tarrant daripada menyebarkan apa-apa unsur kebencian namun dengan memberi kebenaran kepadanya menghantar emel berbaur kebencian itu menyebabkan umum rasa tertekan.

Perdana Menteri Jacinda Ardern yang pernah mendedahkan dirinya cukup jelik sehingga menyebabkan beliau enggan menyebut nama Tarrant amat marah apabila surat itu berjaya melepasi sistem tapisan jabatan pemulihan.

“Kita diberitahu Jabatan Permulihan sendiri mengakui kesilapan ini. Individu terbabit tidak seharusnya dibenarkan berkongsi pesanan kebencian dari balik pintu penjara,” katanya kepada wartawan.

Salah satu surat Tarrant telah dihantar kepada seorang lelaki Russia dikenali sebagai Alan dan disiarkan di laman web 4Chan.

Tarrant dikatakan menulis seperti budak-budak setebal enam muka surat itu menceritakan mengenai lawatan Tarrant ke Russia pada 2015 dan kekaguman suspek terhadap fasis British, Oswald Mosley.

Lelaki kulit putih itu kini ditahan di penjara dengan kawalan keselamatan paling maksimum di Auckland atas kesalahan membunuh 51 jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat, iaitu tragedi tembakan rambang terburuk dalam sejarah moden New Zealand. –MalaysiaGazette