Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid menyambut baik pendirian Kabinet untuk melanjutkan lesen operasi kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) selama enam bulan.

Katanya, walaupun mendapat bantahan beberapa pihak sebelum ini, kerajaan tetap dengan keputusannya setelah menerima pakai pandangan pakar serta saintis yang lebih memahami dan berautoriti mengenai sisa radioaktif itu.

Menurut beliau, tindakan mendapatkan pandangan dari pakar lebih tepat berbanding mendengar pandangan luar yang tidak berkepentingan.

“Oleh itu, kerajaan harus lebih fokus memastikan Lynas mematuhi semua syarat baharu yang ditetapkan termasuk undang-undang sedia ada berkaitan sisa yang dihasilkan Lynas Advance Material Plan (LAMP).

“Kawalan dan pemantauan ketat amat diperlukan bagi memastikan pihak Lynas mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Khamis lalu, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam kenyataannya memaklumkan, kerajaan memperbaharui lesen operasi Lynas selama enam bulan.

Sebelum ini, menurut LPTA, lesen operasi kilang yang beroperasi di Gebeng, Kuantan itu dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 hingga 2 September tahun ini.

Kata Che Alias, beliau turut menyambut baik usaha kerajaan menetapkan tiga syarat baharu  kepada Lynas yang dilihat lebih tegas setelah Australia sendiri menolak penghantaran balik sisa radioaktif Water Leached Purification Residue (WLP) tersebut.

Pada masa sama, ujar beliau, Lynas juga seharusnya segera menyediakan perancangan teliti bagi memenuhi syarat ditetapkan termasuk berkenaan pembinaan dan lokasi Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) kepada kerajaan secara spesifik.

“Selain itu, saya juga mengesyorkan Lynas terus mengadakan diskusi secara umum bukan sahaja kepada ahli politik, malah rakyat khususnya masyarakat Kuantan dengan menyebarkan fakta, maklumat dan tindakan yang diambil terhadap sisa dihasilkan oleh kilang itu,” katanya. – MalaysiaGazette