Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menuntut kerajaan dan polis memperincikan perkembangan siasatan kes yang melibatkan empat pemimpin DAP dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy kepada umum.

Empat pemimpin DAP itu ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy; Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor, V. Ganabatirau; dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, banyak pihak telah membuat laporan polis, namun sehingga kini semua kes tersebut belum diputuskan.

Katanya, rakyat berhak untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan kes berkenaan supaya ia dilihat berjalan dengan telus dan adil.

“P. Ramasamy (DAP) dikaitkan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) dan gambarnya melakukan aktiviti ritual menyembah senapang Kalashnikov (AK-47).

“Manakala M. Kulasegaran (DAP) pula menuduh orang Melayu sebagai pendatang dan mahu mengetuk kepala guru sejarah dalam satu program yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan.

“P. Waytha Moorthy pula telah membuat fitnah dengan mendakwa kerajaan memberi layanan buruk, mendiskriminasi dan menzalimi masyarakat India di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut menjelaskan, kesalahan yang dilakukan V. Ganabatirau (DAP) pula dengan menuduh kumpulan muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, Selangor.

Begitu juga, katanya, tindakan Kasthuriraani Patto (DAP) menghina rakyat Kelantan dengan menjadikan kanak-kanak sebagai objek hiburan setelah Kerajaan Kelantan tidak meluluskan lesen hiburan.

Ujar beliau, lima kes yang melibatkan pemimpin DAP itu sangat kritikal kerana telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Kerajaan dan polis mesti memberi penjelasan tuntas berhubung kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast