Ahli panel, Khairy Jamaluddin hadir pada Seminar Pilihanraya Ke-14: Implikasi Pilihanraya Ke-15 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019

GOMBAK – Kerjasama antara UMNO dan Pas mampu menghebatkan lagi politik identiti kaum seperti yang diamalkan oleh PKR.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, UMNO dan Pas sudah merasai kelebihan melalui kerjasama rapat mereka sekarang.

Bagaimanapun, Khairy menyatakan bahawa dirinya kini diasingkan kerana sering tidak bersetuju dengan politik identiti tersebut.

“Apabila anda dalam UMNO dan Pas anda tahu itulah formula kemenangannya, anda akan terus mengamalkannya,” katanya merujuk kepada tiga pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU-14 di mana calon UMNO yang disokong Pas mendapat kemenangan.

Beliau berkata demikian pada forum pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU15 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Khairy berkata, menerusi tiga kemenangan yang dicapai pada PRK berkenaan, kedua-dua parti itu akan menghebatkan lagi kerjasama yang dijalin menerusi beberapa agenda pada masa akan datang.

Di Semenanjung, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon-calon UMNO dalam beberapa PRK yang dijalankan hingga membawa kemenangan antaranya PRK di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau manakala Pakatan Harapan menang di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

Khairy berkata, walaupun tiga PRK itu tidak akan menentukan gabungan mana yang akan menang pada PRU-15, ia sekurang-kurangnya menunjukkan satu situasi politik menjelang pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Khairy memuji ‘keberanian’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya menubuhkan sebuah parti berbilang kaum.

Ujarnya, tidak seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan sebuah parti yang hanya memberikan tumpuan khusus kepada orang Melayu sahaja.

“Anwar, sekurang-kurangnya berani menubuhkan sebuah parti berbilang kaum. Anwar seperti Mahathir, boleh menubuhkan parti Melayu tetapi beliau tidak berbuat demikian,” ujarnya.

Sebaliknya, Anwar kehilangan sebahagian sokongan orang Melayu apabila dia menubuhkan parti berbilang kaum, tambahnya.

Khairy berpandangan sekiranya Anwar mengambilalih jawatan perdana menteri, ia akan mengukuhkan hubungan antara kaum tetapi umum akan dapat menyaksikan Anwar akan diserang pula oleh UMNO dan Pas.- MalaysiaGazette