Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ahmad Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua suspek dipercayai menipu seorang lelaki Cina tempatan berhubung hadiah loteri nombor ekor 6D di satu lokasi di Kota Sentosa, Sarawak kelmarin.

Kedua-dua lelaki itu ditahan hasil maklumat mangsa sendiri yang ternampak suspek berada di kawasan Batu Kawa di negeri itu, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, pada masa ini pihaknya sedang mengesan beberapa klip video yang memaparkan kedua-dua suspek terbabit dikepung oleh sekumpulan lelaki Cina dengan bersenjatakan tukul besi dan parang.

“Video-video berkenaan telah dikongsi di media sosial dan rangkaian komunikasi Whatsapp dengan diirinbgi pelbagai komen negatif yang telah membangkitkan sentimen perkauman.

“Secara amnya, didakwa bahawa kumpulan lelaki Cina tersebut telah bertindak di luar batasan terhadap seorang lelaki Melayu yang kononnya terlibat dalam kes penipuan yang dimaksudkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hakikatnya perkara tersebut merupakan satu kes jenayah melibatkan mangsa lelaki Cina yang telah ditipu oleh dua lelaki masing-masing berketurunan Cina dan Iban.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Tegas beliau, siasatan selari akan turut dilakukan ke atas pihak-pihak lain yang terbabit jika terbukti mereka telah bertindak di luar batasan undang-undang atau cuba mengambil tindakan di tangan sendiri.

Abdul Hamid turut mengulangi nasihat agar masyarakat tidak berkongsi atau menyebarkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya serta tidak memuat naik komen-komen yang mampu membakar sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. – MalaysiaGazette