SINGAPURA – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang selama ini mendiamkan diri tentang artikel berhubung pertikaian keluarganya memberi amaran kepada pemilik sebuah portal jika berterusan menulis perkara itu selepas ini.

Agensi berita melaporkan, Hsien Loong memberi amaran tindakan undang-undang terhadap portal ‘The Online Citizen’ (TOC) selain daripada tuntutan permohonan maaf berhubung artikel yang didakwa palsu itu.

Hsein Loong yang menghantar surat permohonan melalui Setiausahanya juga menuntut supaya artikel berkenaan yang dipaparkan di laman sosial seperti Facebook juga dipadamkan serta merta.

Selain itu, TOC juga diberikan tempoh sehingga Rabu ini untuk Editornya, Terry Xu memohon maaf dan akan dikenakan tindakan sama sekiranya gagal berbuat demikian, menurut surat itu lagi.

TOC bukan nama asing kerana merupakan antara media pengkritik parti pemerintah, People’s Action Party (PAP).

Portal itu didakwa telah membuat pertuduhan tidak benar dan palsu berhubung keluarga Perdana Menteri itu terutama tentang pertikaian rumah yang kini menjadi rebutan adik beradik Hsein Loong sejak 2017.

Hsein Loong terlibat dalam pertikaian dengan adiknya, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling berhubung banglo milik keluarga di Oxley Road selepas kematian bapa mereka, pengasas Singapura dan perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew pada 23 Mac 2015.

Banglo keluarga mereka di Oxley Road itu telah diwasiatkan kepada adik-beradik oleh Kuan Kew sebelum menghembus nafas terakhir namun Hsein Loong dikatakan enggan berbuat demikian.

Anak-anak mendiang menuduh Hsein Loong tidak mahu melaksanakan wasiat kerana mempunyai agenda politik, banglo tersebut diwasiatkan supaya dirobohkan namun ada cadangan supaya ia dijadikan memorial walaupun bukan itu kehendak mendiang. – MalaysiaGazette