Siti Zainon Ismail

KUALA LUMPUR – Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh menyifatkan pemilihan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara Ke-14 sebagai layak dan tepat.

Profesor Adjung di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, Siti Zainon merupakan penyumbang kepada perkembangan sastera Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Siti Zainon telah membawa sastera Malaysia ke pelbagai bahagian dunia, bukan sahaja Asia Tenggara, bahkan ke Eropah, Rusia dan Jepun. Usia kepengarangan beliau juga lebih lama.

“Untuk pemilihan tahun ini, saya yakin dan bersetuju, Siti Zainon merupakan calon yang layak dan tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad juga pengkaji, penulis dan pengkarya sastera juga yakin dengan pemilihan Siti Zainon bukanlah anugerah bersifat seperti pilih kasih.

“Saya telah terlibat dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara lebih daripada 10 kali. Ia bukanlah sebuah anugerah untuk membuang seseorang dan menaikkan seseorang yang lain,” jelasnya.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan Siti Zainon sebagai penerima anugerah berprestij sastera itu yang membawa gelaran Sastera Negara.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, pemilihan beliau adalah berdasarkan sumbangannya melalui karya dan pemikiran, perkembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima.

Siti Zainon, 69, telah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen, lima antologi puisi, 18 kajian ilmiah berbentuk buku, 21 esei kajian dalam buku dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog. – MalaysiaGazette