Gambar hiasan CIMB

KUALA LUMPUR – CIMB Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd. mengesahkan bank tersebut telah mengesan beberapa situasi luaran yang mencurigakan terhadap sistem teknologi maklumat (IT) mereka dan telah pun mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, CIMB berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, bank berkenaan segera menggantung sistem-sistem IT tertentu yang mana telah menjejaskan urusan perniagaan mereka khususnya fungsi-fungsi dalaman.

“Kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa sistem perbankan utama dan data pelanggan tetap tidak terjejas.

“Para pelanggan boleh melakukan urusan perbankan seperti biasa melalui CIMB Clicks, BizChannel@CIMB dan Terminal Layan Diri termasuklah mesin juruwang automatic (ATM) dan mesin deposit tunai,” katanya.

Tambah CIMB, ia akan terus mengambil langkah sepatutnya bagi memastikan perbankan selamat kepada semua pelanggan mereka.-MalaysiaGazette