KUALA LUMPUR – Pas membantah keras projek mega kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang mahu menambak laut di perairan selatan negeri itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek Tambak Selatan Pulau Pinang (PSR) yang berkeluasan kira-kira 4,500 ekar itu sangat dangkal kerana memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan alam sekitar.
Sekurang-kurangnya, kata beliau, ada lima sebab utama mengapa PSR itu wajib dibantah dan ditolak sekeras-kerasnya.
“Pertama, PSR dijadikan sebagai bank tanah untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang masih banyak dipertikaikan sama ada dari aspek kos RM46 bilion, keberkesanan dan kerelevanannya.
“Tambahan pula, banyak projek yang mahu dilaksanakan termasuk projek terowong bawah laut sepanjang 7.2 kilometer itu bukan satu keperluan mendesak dan terpalit dengan pelbagai isu integriti.
“Kedua, PSR akan mengulangi kesan lebih dahsyat seperti pernah berlaku ke atas masyarakat nelayan di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah setelah projek tambakan pantai utara dilakukan untuk memberi laluan kepada projek Seri Tanjung Pinang 2 (STP2),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Katanya, PSR juga akan menjejaskan rezeki kira-kira 5,000 nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk menyara kehidupan harian mereka.
Beliau menyatakan, sebab ketiga ialah PSR akan memusnahkan kehidupan laut terutama ikan dan sekiranya diteruskan, jaminan bekalan ikan akan terjejas serta menyebabkan harga akan melambung tinggi.
“Ia bukan isu mikro, tapi melibatkan juga industri makanan mentah dan pemprosesan makanan serta pelancongan domestik. Tidak mustahil, usahawan kecil dan sederhana akan terus lumpuh.
“Keempat, PSR dianggap sebagai usaha secara halus meminggirkan penempatan rakyat khususnya golongan bawahan. Dianggarkan sekitar 20 peratus sahaja rumah mampu milik disediakan. Jadi, siapakah pemilik sebenar majoriti 80 peratus lagi?
“Tidak keterlaluan jika diandaikan penempatan di kawasan tambak laut tersebut akan dihuni oleh golongan kaya dan orang asing,” ujarnya.
Beliau menambah, sebab kelima ialah mengabaikan konsep pelestarian alam sekitar iaitu kawasan laut khususnya di sekitar Permatang Damar Laut dan Teluk Kumbar akan rosak dan menjejaskan eko pelancongan.
Tambahan lagi, kata Tuan Ibrahim, projek penambakan laut akan memusnahkan habitat haiwan laut terutama spesies terancam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PSR juga akan menyebabkan kerja pengorekan dasar laut dan perlombongan pasir hingga di negeri Perak.
“Ini antara lima sebab utama mengapa rakyat mesti membantah projek penambakan laut di Selatan Pulau Pinang.
“Pas berharap rakyat dapat turun beramai-ramai dan membantah secara tegas dalam Himpunan Selamatkan Pulau Pinang pada 8 September ini di padang bola Permatang Damar Laut, Bayan Baru.
“Tunjukkan solidariti anda terhadap kerajaan pimpinan DAP yang sombong,” katanya. – MalaysiaGazette