KUALA LUMPUR – Tindakan Lim Guan Eng mengheret MCA dan MIC supaya menentang Pas dan UMNO dalam isu kempen boikot barangan bukan Islam dengan mengaitkan bangsa dan agama adalah satu penipuan politik yang licik.
Sehubungan itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker meminta Guan Eng perlu berhenti bermain dan meningkatkan konflik perkauman.
Sebaliknya, Setiausaha DAP, yang juga Menteri Kewangan itu dinasihatkan agar menyahut nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahu sebarang polemik politik yang menyebabkan ketegangan pada hubungan kaum dihentikan.
“Sekarang dia bijak mahu menaikkan tempo dan suhu bangsa dan agama dengan memilih MCA dan MIC untuk menentang Pas dan UMNO.
“Ia adalah penipuan politik yang sangat licik oleh individu seperti Lim Guan Eng dan pemimpin DAP lain yang telah menyebabkan suhu perkauman naik pada skala nasional sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ti mendakwa, Guan Eng bertindak demikian dalam usahanya untuk mengalihkan isu projek pembinaan terowong dasar laut dan dakwaan menyalahguna kuasa, isu yang dicabar untuk didebat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sedangkan, katanya, Ka Siong secara terbuka telah mengutuk tindakan kumpulan-kumpulan tidak bertanggungjawab yang berkempen boikot produk bukan Islam.
Ti turut mendakwa, Guan Eng telah meniru kenyataan Ka Siong yang terlebih dahulu meminta orang ramai membeli barangan buatan Malaysia dan mengulanginya dua hari lalu semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Huazong di Alor Setar. – MalaysiaGazette