Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya (kiri) berucap pada Wacana Intelektual Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perpaduan ummah yang bakal termeterai esok boleh memberi kemenangan besar kepada gabungan Pas dan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, jika ahli dari kedua parti Melayu Islam itu digabungkan dan diterjemahkan pada hari mengundi PRU-15, Pakatan Harapan (PH) akan kehilangan kerajaan yang ditadbirnya sejak 10 Mei 2018.

“Saya melihat penyatuan ummah ini dalam konteks gabungan orang Melayu dan umat Islam dari kedua-dua parti ini. UMNO ada tiga juta ahli, Pas ada satu juta ahli.

“Jika digabungkan, jumlah undi sudah empat juta, belum termasuk undi dari penyokong kedua-dua parti dan yang tidak berparti,” katanya dalam program Wacana Intelekt sempena Himpunan Penyatuan Ummah di sini hari ini.

Mengenai orang Melayu, Aminuddin dengan nada sedih menyatakan, bangsanya kini sudah hilang jati diri kerana terlalu mengikut kehendak atau suruhan orang lain.

Beliau memberi contoh, apabila diminta melaungkan “perjuangan Melayu” pun agak berat keluar dari mulut orang Melayu kerana terlalu menjaga hati orang lain menuduhnya rasis.

“Ini salah. Kita harus ingat, tertegaknya Islam di bumi Malaysia ini kerana perjuangan bangsa kita. Jadi, Melayu tidak perlu apologetik.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Azmi Hasan berharap ia bukan setakat gabungan dua parti sahaja malah melibatkan parti lain juga.

Katanya, UMNO dan Pas harus bersikap terbuka selepas ini dengan menerima mana-mana parti yang menyatakan kesediaan untuk bersama dalam penyatuan ummah.

Beliau turut mengingatkan orang Melayu, Islam bahawa suara negatif pihak tertentu mula kedengaran dan ada cubaan mengganggu penyatuan itu dengan menggambarkan ia sebagai penyatuan kaum.

“Saya tidak mahu sebut siapa pihak berkenaan tetapi apa yang disuarakan itu adalah salah. Pihak terbabit seharusnya melihat gabungan antara Pas dan UMNO sebagai penyatuan semua kaum.

“Saya hairan kenapa masih ada kenyataan naratif seperti itu, sedangkan gabungan itu sangat baik dan tidak perlu dimanipulasikan,” katanya yang juga ahli panel Wacana Intelek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast