Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim bercakap semasa temubual khas di Madrasah Al-Barakah, Gedong Lalang, Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OKTOBER 2018
Suhaimi Kassim

KUALA LUMPUR – Usaha yang tiada mengenal erti lelah untuk meletakkan Lenggeng sebaris dengan pekan utama di Negeri Sembilan terus menjadi impian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Suhaimi Kassim.

Dalam tempoh satu tahun empat bulan menjadi wakil rakyat kawasan itu, beliau membawa masuk sebuah agensi kerajaan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi manfaat penduduk setempat.

Umum tahu, DUN Lenggeng selama ini tidak pernah mempunyai pasar pagi atau pasar besar yang memudahkan rakyat berniaga mahupun membeli belah biarpun kawasan itu adalah salah satu aset utama negara dalam industri pertanian.

Namun, program Bazaar Peduli Rakyat (BPR) produk FAMA akan menjadi cetusan idea terbaharu Suhaimi untuk memudahkan urusan penduduk sekitar Lenggeng mendapatkan pelbagai produk pertanian tempatan secara terus.

Menurut Penolong Pengarah FAMA negeri, Rizal Yaacub, dalam beberapa perbincangan dengan urusetia Pusat Khidmat DUN Lenggeng bersetuju untuk membuka 30 gerai yang akan disertai usahawan tani tempatan.

“Program ini akan diadakan pada 5 Oktober ini dan kemungkinan dilaksanakan dalam tempoh percubaan selama enam bulan.

“Jika mendapat sambutan menggalakkan, kita akan meneruskan program ini sehingga Lenggeng memiliki pasar tani sendiri, dan cadangan lokasinya di Pentas Budaya Kampung Rawa, kira-kira dua kilometer dari Pekan Lenggeng,” katanya di pejabat FAMA di Labu, hari ini.

Kakitangan DUN Lenggeng bersama pegawai FAMA selepas mencapai kata sepakat untuk sama-sama memajukan industri pertanian di DUN Lenggeng.

Kata beliau, FAMA mempunyai banyak produk dalam usaha meletakkan produk pertanian terutama sayur, buah dan ternakan dipasarkan untuk pelbagai lapisan.

Petani mempunyai banyak ruang untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja program BPR, malah turut membabitkan My Best Buy (MBB) dan pasar tani yang sememangnya sudah mendapat tempat di kalangan rakyat seluruh negara.

Dalam program BPR Lenggeng pula, ia juga mendapat suntikan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri yang turut menjayakan acara pertandingan memasak melibatkan kaum wanita Lenggeng dan acara mewarna daripada kanak-kanak Tabika Kemas DUN Lenggeng.

Sementara itu, Pegawai KEMAS negeri, Muhd Faiz Abdul Rahim berkata, ia adalah usaha terbaik memastikan Lenggeng tidak ketinggalan memasarkan produk daripada petani di kawasan luar bandar.

“Inilah masa terbaik untuk semua pihak bergabung tenaga dalam menjayakan misi membangunkan Lenggeng di mata masyarakat luar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast