Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua kanan), Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) bergambar selepas mendatangani perjanjian piagam kerjasama antara UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kedua-dua parti Pas dan UMNO hari ini sah menjalinkan kerjasama politik ke arah penyatuan kaum Melayu dan Bumiputera.

Sejarah baharu tercipta hari ini apabila parti yang lama menjadi seteru politik itu kini dianggap sebagai rakan baik bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Kerjasama itu secara rasminya terbentuk apabila kedua-dua presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam kerjasama politik dengan disaksikan ribuan ahli Pas dan UMNO.

Dalam piagam itu secara amnya, Pas dan UMNO bersetuju untuk menangani peminggiran kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputra.

Malah kerjasama itu juga bagi mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera terhadap kepimpinan berasaskan Islam, Melayu dan Bumiputra.

Ini termasuklah memperkasakan Melayu dan menyepadukan umat Islam.

“Kerjasama yang diadakan antara kedua-dua pihak adalah bertunjangkan empat prinsip antaranya persetujuan untuk tidak bersaing antara satu sama lain, bermuafakat demi matlamat negara.

“Menyokong calon dari UMNO dan Pas dan sekaligus Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera (GS) dalam semua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Umum (PRU). Ini termasuk perkongsian sumber antara UMNO dan Pas dan sekaligus BN dan GS,” demikian menurut intipati piagam kerjasama itu.

Selain itu, prinsip asas kerjasama itu juga, Pas dan UMNO bersetuju kerjasama dua parti itu perlu melibatkan semua rakan komponen BN dan Gagasan Sejahtera.

Kerjasama dua parti itu turut mengambil kira Malaysia sebagai negara majmuk dan berbilang agama, bangsa dan budaya.

Menerusi Muafakat Nasional itu juga Pas dan UMNO akan membentuk jawatankuasa perunding yang akan dipengerusikan Timbalan Presiden kedua-dua parti bagi memastikan kelancaran kerjasama termasuk pembentukan dasar. – MalaysiaGazette